Home Tempatan Jabatan Agama Tidak Pernah Merampas Mayat: Sulaiman Abdullah

Jabatan Agama Tidak Pernah Merampas Mayat: Sulaiman Abdullah

SHARE

KUALA LUMPUR: Kekaburan masyarakat mengenai kontroversi isu “rampasan mayat” yang kononnya berlaku di negara ini dijelaskan oleh Peguam Bela dan Cara, Sulaiman Abdullah, merangkap Presiden Majlis Peguam tahun 2000-2001. Menurut Sulaiman, sebenarnya tidak timbul isu rampasan mayat yang dilaporkan oleh media dan amat bertentangan dengan keadaan yang sebenarnya.

Beliau berkata, beberapa kes yang menjadi isu sehingga menuduh pihak jabatan kerajaan merampas mayat ini hanyalah kerana reaksi orang bukan Islam yang selalunya sangat beremosi.

“Mereka tidak mahu menerima ahli keluarga mereka memeluk agama Islam sekaligus menafikan secara membuta tuli bahawa saudara mereka itu bukan Islam, tanpa ada bukti-bukti yang sah menidakkan dakwaan mereka itu,” katanya.

Menurutnya, bagi mereka (bukan Islam), jika si mati itu dahulunya Hindu dan tiada sebab munasabah bahawa dia sudah tukar agama, mereka menyifatkan dia tetap juga Hindu walaupun terdapat bukti yang mengatakan si mati sudah memeluk Islam.

“Jadi ketika mereka berkeras mahu menuntut mayat ini dari jabatan, ini bermakna merekalah yang sebenarnya “merampas mayat” saudara mereka yang sudah sah memeluk agama Islam. Bagi saya dan bagi orang waras, kenapa pula Jabatan Agama Islam mahu pergi merampas mayat melainkan si mati itu telah terbukti beragama Islam.

Menurut Sulaiman, apa gunanya mengaibkan orang khasnya kepada keluarga si mati tersebut yang sedang berada di dalam perasaan sedih atas kematian ahli keluarga.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kekeliruan, status mayat seseorang yang sudah meninggal itu perlulah dilaporkan kepada pihak berkuasa sebelum disiasat dan diberi surat kuasa kepada ahli keluarganya sebagai bukti kematian dan status agamanya.

“Jadi keluarga si mati yang memiliki surat kuasa itu perlu membuat tuntutan mayat tersebut.”

“Jika tidak, pihak di jabatan kerajaan yang terlibat akan menguruskan sendiri mayat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, jika mayat tidak dituntut dalam sesuatu tempoh yang diberikan maka ia secara tak langsung menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk menguruskan mayat berkenaan.

Menurut beliau, prosedur untuk mengenal pasti agama dan bangsa mayat itu dilakukan mengikut bukti-bukti yang sah melalui rekod yang ada.

Kata beliau, sekiranya mayat tidak dituntut, kita perlu mengambil iktibar yang baik bagi menentukan agama mayat berkenaan termasuk mengambil bukti dari surat mahkamah, surat dari Jabatan Agama Islam sebagai bukti si mati telah memeluk Islam atau ada saksi dan pihak tampil mengatakan bahawa si mati sudah mengucap dua kalimah syahadah.

“Ini semua bukti yang boleh digunakan,” katanya.

Menurutnya, mengenai pengecaman mayat melalui berkhatan itu bukan sesuatu tanda yang besar disebabkan sekarang ini ada juga orang bukan Islam berkhatan.

“Ada juga orang yang masuk Islam, tetapi tidak berkhatan dan ini tidak termasuk dalam syarat untuk memeluk Islam,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, jabatan agama tetap memberi cadangan supaya berkhatan tetapi kalau dia tidak mahu tidak semestinya dia perlu berkhatan.

Beliau berkata, pihak-pihak yang terlibat dalam menyempurnakan mayat ialah mereka yang bertugas di bilik mayat dari Jabatan Hospital khususnya Bahagian Pengurusan Mayat dan Bilik Mayat termasuk Jabatan Agama Islam.

Mengenai terdapat sebarang pelanggaran undang-undang sekiranya kerajaan mengambil mayat untuk tujuan post mortem atau untuk disempurnakan melalui cara Islam, beliau berkata, ini adalah tanggungjawab pihak berkuasa bagi menentukan siapa yang meninggal, apa agamanya, seterusnya, akan menguruskan upacara pengebumian berkaitan mayat tersebut jika tidak dituntut dalam tempoh tertentu.

Ditanya mengenai akta atau seksyen yang membolehkan kerajaan mengambil mayat dari keluarga si mati, beliau kurang pasti secara spesifik tetapi secara umumnya jika mengikut Undang-Undang Am, pihak–pihak berkuasa berhak atas mana-mana mayat selagi keluarganya belum menerima surat kuasa untuk menuntut.

Beliau turut menyifatkan kes-kes yang dipopularkan di media massa berkenaan rampasan mayat itu adalah tidak munasabah.

“Saya tidak setuju dengan istilah “rampasan mayat”, kita tidak sesekali merampas mayat tetapi menguruskan mayat dan perlu diingat itu bukan tindakan merampas,” katanya.

Menurutnya, jika ada pihak membuat dakwaan sebegitu, mengapa pula kita mesti mengikut istilah mereka.

Menurut Sulaiman, sebenarnya tidak timbul isu rampasan. Rampasan yang dikatakan ini seolah-olah hak orang lain kemudian kita pergi merampas hak mereka.

“Itu tidak pernah berlaku seperti yang didakwa pihak tertentu,” katanya.

“Jika terdapat apa-apa tanda bahawa orang itu sudah masuk Islam, sama ada keluarganya tahu atau tidak dan selagi pihak berkuasa mengesyaki dan tahu serta mempunyai bukti si mati masuk Islam atau tidak maka pihak kerajaan dengan sendirinya bertanggungjawab ke atas mayat tersebut.

“Kalau tidak, seorang yang telah beragama Islam akan dikebumikan dengan cara bukan Islam dan itu tidak baik, bermakna masyarakat Islam pada keseluruhan menanggung dosa dari sudut fardu kifayah”.

Comments