Home Tempatan Isytiharkan Islam Sebagai Agama Negara – Hafiz Nordin

Isytiharkan Islam Sebagai Agama Negara – Hafiz Nordin

SHARE

Serdang, Selangor: “Saya ajak tuan-tuan dan puan-puan bersetuju bahawa Islam adalah agama negara dan bukan sekadar agama rasmi,” demikian tuntutan yang dibuat oleh pendakwah bebas Ustaz Hafiz Bin Nordin ketika ucapannya di Deklarasi Ijtima’ Penegasan Kedaulatan Islam (DIPKI) 2018 edisi Selangor baru-baru ini.

Selain daripada itu, beliau turut mengajak rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk berdiri teguh bersama demi mengisytiharkan Malaysia sebagai Agama Islam.

“Saya mengajak tuan-tuan dan puan-puan berdiri di persada dunia untuk mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam.”

Dalam pada itu, beliau juga menggesa para hadirin untuk turun memberi penerangan kepada golongan bukan Islam dan juga umat Islam bahawa Islam bukanlah agama rasmi negara, bahkan ianya agama negara.

“Boleh atau tidak kita turun pada masyarakat bagi penerangan kepada bukan Muslim dan Muslim, bahawa Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi Agama Negara?!”

Beliau juga mengingatkan para peserta kepada peristiwa hitam yang berlaku sewaktu pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq di mana terdapat usaha untuk menjatuhkan kerajaan Islam pada waktu itu.

“Ingat peristiwa hitam zaman Abu Bakar? Terdapat gerakan lawan kerajaan Islam, kita tidak setuju Islam dihapuskan oleh musuh dalam dan luar negara.”

Ustaz Hafiz Nordin turut menambah bahawa negeri-negeri di Malaysia adalah berdaulat di bawah naungan Raja-Raja Melayu dan Islam adalah agama bagi setiap negeri beraja dan tidak mungkin para Sultan-Sultan Melayu lupa untuk menjadikan Islam sebagai Agama Negara.

“Kita kena ingat sejarah Perlembagaan negara, negeri-negeri berdaulat, Sultan memerintah negeri masing-masing dan Islam sebagai agama negeri, tidak akan Sultan-Sultan lupa untuk menjadikan Islam sebagai Agama Negara.”

Comments