Home Tempatan Isu IKSIM Perlu Dilihat Daripada Sudut Campur Tangan Dalam Kuasa Raja-Raja Melayu...

Isu IKSIM Perlu Dilihat Daripada Sudut Campur Tangan Dalam Kuasa Raja-Raja Melayu – PERTAMA

SHARE

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA), Sheikh Abd Kareem Sheikh Kadaeid berpendapat isu IKSIM perlu dilihat daripada sudut campur tangan dalam kuasa Raja-Raja Melayu kerana penubuhannya adalah dengan perkenan Majlis Raja-Raja dan sesuai dengan sumpah jawatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong mempertahankan kedaulatan Islam.

“Kita perlu menghormati hak Raja-Raja dalam hal ehwal Islam kerana itu bidang kuasa Baginda-Baginda dan apa jua penilaian perlu dinilai oleh mereka yang ada kuasa padanya maka, jelas di sini yang patut menilai adalah kuasa yang mewujudkannya,” katanya.

Menurutnya, IKSIM sama dengan Al-Hijrah, iaitu ditubuhkan dan diujudkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja bertujuan menjaga kepentingan dan kemurnian Islam.

Beliau berkata, sekatan kewangan kepada IKSIM adalah satu tindakan yang tidak betul. Tindakan ini sudah bersalah dan mesti buktikan tidak bersalah.

Tegas beliau, sepatutnya mereka mohon perkenan Raja-Raja Melayu terlebih dahulu sebelum menyekat dana dari MAIWP sedangkan MAIWP adalah di bawah kuasa DYMM Yang Di-Pertuan Agong. Pertanyaan beliau, sudahkah mereka mendapat perkenan Tuanku?

“Suka saya menjelaskan di sini maklumat ringkas tentang IKSIM di mana ia merupakan sebuah Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) adalah cetusan idea seorang ahli akademik yang disuarakan kepada pihak kerajaan pada tahun 2008 di dalam program pertemuan antara Ulama dan Umara.”

Menurut Sheikh Kareem, idea untuk diwujudkan sebuah badan khas yang bertugas menjaga kedudukan dan kedaulatan Islam di Malaysia sesuai dengan sejarah dan Perlembagaan Persekutuan melalui kajian-kajian dan tindakan-tindakan strategik ini diterima oleh pihak berkuasa dan usaha-usaha ke arah itu dilakukan.

Kemudian jelas beliau, ia mengambil masa tidak kurang dari 6 tahun (2008 hingga 2014) untuk direalisasikan kerana persetujuan daripada pihak berkuasa agama negeri-negeri diperlukan dan akhirnya setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja melalui mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke 225, maka pada 9hb Disember 2014 IKSIM ditubuhkan.

“Di mana sebelum itu, ada nasihat daripada Majlis Raja-Raja agar IKSIM bebas daripada pengaruh parti-parti politik,” katanya.

Tambah beliau lagi, bagi membantu ke arah kebebasan daripada pengaruh parti-parti politik, IKSIM tidak ditubuhkan sebagai sebuah agensi kerajaan, sebaliknya diperbadankan sebagai sebuah SBMJ (Syarikat Berhad Menurut Jaminan) di bawah Akta Syarikat 1965 dan ini bermakna IKSIM tidak mendapat sebarang dana daripada pihak kerajaan.

Menurutnya, IKSIM di dalam beroperasi bergantung kepada sumbangan umat Islam untuk kegiatan-kegiatan mempertahankan agama “fii sabiililaah”.

Ujar beliau, perjuangan mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara sesuai dengan peruntukan Perkara-perkara 3(1) dan 37(1) Perlembagaan Persekutuan sekaligus mempertahankan institusi Raja-Raja sebagai benteng agama walaupun bebas daripada “pengaruh parti politik”, namun mustahil dapat bebas daripada “kesan politik” kerana perkembangan politik jelas memberi banyak kesan kepada banyak perkara termasuk kedudukan dan kedaulatan agama Islam.

Ditanya, adakah beliau bersetuju dengan pandangan bahawa IKSIM adalah alat BN atau ianya adalah tohmahan jahat yang dibuat pihak sekular, liberalis dan pluralis agama dan sekutu mereka yang tidak senang dengan kerja-kerja IKSIM, Sheikh Kareem berkata, perjuangan mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara dan mempertahankan institusi Raja-Raja sebagai benteng agama Islam ini dilihat positif oleh sebahagian termasuk oleh NGOs dan parti-parti politik dan dilihat negatif oleh segmen masyarakat yang lain termasuk oleh NGO (termasuk juga oleh kumpulan-kumpulan tidak berdaftar seperti G25) dan parti-parti politik yang lain.

Sebagai contoh, isu usul pindaan kepada A355 yang akhirnya menjadi polemik politik kemungkinan besar akan ditimbang oleh parti-parti dan ahli-ahli politik dengan mengambilkira “political mileage” kepada parti politik masing-masing sedangkan IKSIM sebagai sebuah institut kajian strategik mengambilkira kesan pindaan yang dicadangkan itu kepada kedaulatan agama Islam dan keberkesanan sesuatu hukuman sebagai pencegahan kepada kesalahan dan IKSIM dapati pindaan yang dicadangkan ini baik kerana ianya membawa natijah mengembalikan sejumlah autonomi dan kebebasan kepada cabang legislatif negeri yang selama ini dibatasi oleh batasan yang sempit berdasarkan butiran 1, Senarai 2, Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Sheikh Kareem juga menambah, pendirian IKSIM di dalam isu-isu undang-undang dan isu-isu seperti ancaman pelampau liberal dan pelampau agama termasuk ancaman-ancaman radikal evangelis, LGBT mahupun Pluralisme Agama disenangi oleh banyak pihak dan dibenci oleh banyak pihak yang lain dan sudah tentu jika IKSIM ditutup pihak yang berkenaan akan lebih bebas melakukan kerosakan dan menyebarkan dakyah serta agenda masing-masing.

Katanya lagi, “Untuk mereka terdahulu yang membenci perjuangan Daulatkan Islam Agama Negara yang diperjuangkan oleh IKSIM ini, cara mudah untuk menjatuhkan IKSIM adalah dengan melakukan “character assassination”, melabelkan IKSIM sebagai “preacher of hatred” atau “alat politik UMNO/BN” walaupun sebagaimana yang saya kongsikan di atas, IKSIM banyak menolak campur tangan atau tunggangan politik daripada ahli-ahli politik, baik di pihak pembangkang mahupun kerajaan, dan malah kerap juga mendepani masalah dan kesukaran di dalam bergerak akibat daripada beberapa pendirian dan sikap kerajaan terdahulu.”

Justeru tegas beliau, selagi perjuangan IKSIM adalah untuk mempertahankan kedudukan ISLAM SEBAGAI AGAMA NEGARA di atas manhaj yang adil dan seimbang, Ahli Sunnah wal Jamaah, yang tidak terlajak lepas bebas (liberal) atau terlampau sempit dan keras (literal), selagi itulah pihak yang menyokong kedaulatan Islam dan institusi Raja-Raja sesuai dengan sejarah tanah air dan Perlembagaan Persekutuan akan menyokong kewujudan dan pergerakan IKSIM dan yang menolak kedaulatan Islam dan Institusi Raja-Raja akan menolak kewujudan dan pergerakan IKSIM malah berhasrat mahu menghapuskan IKSIM.

Jelasnya, walaupun IKSIM hanyalah alat dan platform malah yang menjadi tujuan dan matlamat adalah hifzhuddeen, menjaga agama.

“Alat dan platform boleh dihapuskan, namun selagi iman membara di dada ummat, perjuangan hifzhuddeen ini mustahil akan dapat dihapuskan,” katanya.

Comments