Home Tempatan Isu guru Pendidikan Islam: Tohmahan ADUN DAP melulu, tidak berasas

Isu guru Pendidikan Islam: Tohmahan ADUN DAP melulu, tidak berasas

SHARE

BANGI, 16 Jamadilakhir 1438H, Rabu – Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo menempelak Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen apabila menganggap kehadiran 433 guru Pendidikan Islam ke negeri itu sebagai permulaan kepada ketaksuban agama.

Arifiriazul berkata, apa yang diucapkan Chong adalah tohmahan melulu dan tidak berasas.

Malah, tindakan Chong juga katanya, telah memberi label politik ke atas para guru yang telah mengikuti kursus standard perguruan.

Membidas dakwaan itu lagi, Arifiriazul berkata, jika terdapat bukti kukuh, beliau harus ajukan aduan kepada pihak terbabit.

“Jika tidak, Chong sebenarnya menghina profesion mulia para guru yang ikhlas mendidik anak bangsa.

“Sewajarnya DAP Sarawak menjadikan keunikan dan keharmonian segala perbezaan yang ada di negeri ini sebagai kebanggaan tersendiri.

“Bukan memperleceh dan memandang pihak lain dengan tanggapan pecah belah lebih-lebih lagi perkara melibatkan sensitiviti dan sempadan agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Chong yang juga ADUN Kota Sentosa baru-baru ini mendakwa 433 guru Pendidikan Islam yang akan dibawa masuk ke negeri bumi kenyalang itu bakal menjadi permulaan kepada ketaksuban agama yang kemudiannya disusuli gangguan keharmonian kaum di negeri itu.

Beliau juga turut berasa takut guru-guru Pendidikan Islam dari Semenanjung Malaysia itu akan membawa versi ajaran Islam mereka dan mengindoktrinasi kanak-kanak di Sarawak dengan versi pengajaran Islam UMNO dan menyebabkan lagi pengasingan kaum.

Mengulas lanjut, Arifiriazul berkata, dalam isu ini, ia hanyalah urusan pentadbiran yang boleh diselesaikan dengan mengemukakan pandangan dan cadangan kepada pihak terbabit khususnya Jabatan Pelajaran Negeri.

“Malah, kami turut menyokong agar inisiatif dan keutamaan diberikan kepada guru tempatan yang berada dalam senarai permohonan serta berkelayakan supaya proses pembelajaran, serta hal pentadbiran berkaitan menjadi lebih mudah.

“DAP Sarawak sebenarnya mahu dilihat sebagai jaguh sentimen kenegerian apabila mengapi-apikan perbezaan hubungan sosial, interaksi dan budaya, di mana secara tidak langsung turut melemparkan persepsi negatif kepada agama Islam.

“Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen tidak perlu merumitkan keadaan dengan skeptikal yang sangat keterlaluan. Sebenarnya beliaulah yang dan prejudis membakar unsur fobia serta melampau dari gambaran diberikan,” katanya.

Comments