Home Tempatan Isu Fatwa: Abdul Malik didesak letak jawatan

Isu Fatwa: Abdul Malik didesak letak jawatan

SHARE
Abdul Malik Abul Kassim. - Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Datuk Abdul Malik Abul Kassim didesak meletak jawatan sebagai EXCO Agama negeri, demi menjaga integriti Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang yang seharusnya terhindar daripada campur tangan politik.

Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak, berkata ia susulan kegagalan Abdul Malik menafikan surat arahan bertarikh 26 Mei 2010 yang jelas menjurus soal campur tangan politik dalam Jawatankuasa Fatwa negeri.

Beliau berkata, surat arahan itu juga turut membayangkan bahawa operasi Jawatankuasa Fatwa negeri adalah bertentangan dengan Seksyen 4 (3) dan (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004.

“Penafian beliau sebelum ini amat meragukan dan layak dipertikai, selain surat arahan terbabit tanpa prejudis menggambarkan wujud situasi penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana mempertikai fatwa yang sudah diperkenan Baginda.

“Justeru, kredibiliti dan integriti beliau sebagai EXCO Agama negeri layak dipertikai, selain didesak meletak jawatan secara terhormat demi kepentingan Melayu dan Islam di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pemuda PAS Pulau Pinang mendakwa wujud campur tangan politik kerajaan negeri pimpinan DAP berhubung pelantikan mufti dan urusan fatwa di negeri itu.

Ini termasuk dakwaan setiap fatwa yang mahu diwartakan perlu dikemukakan terlebih dahulu kepada mesyuarat EXCO negeri yang bertentangan dengan Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004.

Berita Harian

Comments