Home Tempatan Isu ‘bin Abdullah’: Undang-undang Islam bukan hanya atas kertas, kata Zahid

Isu ‘bin Abdullah’: Undang-undang Islam bukan hanya atas kertas, kata Zahid

SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada semua pihak supaya menghormati undang-undang Islam, termasuk umat Islam yang merupakan pakar undang-undang.

Timbalan perdana menteri turut menggesa semua pihak tidak mencampuri hal ehwal agama Islam serta mengelirukan orang ramai.

“Tolong hormati agama kita, kalau kita dikehendaki hormati agama lain. Jangan campur hal ehwal kita, undang-undang kita, hak kita, jangan campur.

“Walaupun yang campur itu orang Islam memang pakar undang-undang, tapi undang-undang Islam bukan hanya apa yang terkandung atas kertas,” katanya semasa berucap merasmikan Projek Residensi RAH di Kampung Baru, hari ini.

Beliau berkata demikian ekoran Mahkamah Rayuan melalui penghakiman bertulis pada 25 Julai lalu berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak tidak rasional dan di luar kuasanya dengan menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan kanak-kanak Islam, bertentangan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa kanak-kanak tersebut.

“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” tulis Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim dalam penghakiman sepanjang 28 halaman.

Beliau berkata, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

Sabtu lalu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong keputusan Mahkamah Rayuan dengan menyifatkan ia langkah “tidak menghukum anak tidak bersalah” dan boleh menutup keaiban serta memberi peluang insan bertaubat.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga menteri dalam negeri mengingatkan semua pihak supaya tidak bertindak semberono sehingga menjejaskan perkara syubhah.

“Jangan semberono dalam melakukan sesuatu seolah-olah mahu dirombak sesuatu yang syubhah yang harus diakui, ditolak. Tak boleh begitu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, Projek Residensi RAH boleh membangunkan semula Kampung Baru tanpa mengetepikan warisan Melayu dan ciri-ciri Islam, sekali gus mengekalkan sejarah kewujudan kawasan yang berusia 113 tahun itu.

Katanya, pembangunan semula itu harus menonjolkan keseimbangan elemen baharu dan lama bagi memastikan warisan kawasan itu terus mencerminkan identiti Kuala Lumpur sebagai ibu negara.

Projek pembangunan moden di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur yang merangkumi 187 unit kondominium mewah setinggi 39 tingkat itu dibangunkan RAH Properties Corporation Sdn Bhd dengan nilai pembangunan kasar RM182 juta.

Projek yang bermula Mei tahun lalu itu dijangka siap pada Mei 2019 membabitkan keluasan 3,310m persegi dengan kos pembangunan RM145 juta, termasuk kos pengambilan tanah sebanyak RM25 juta.

Free Malaysia Today

Comments