Home Tempatan Islamofobia punca tak sokong RUU 355

Islamofobia punca tak sokong RUU 355

SHARE
ABDUL HADI AWANG

KUALA LUMPUR: Pihak yang menentang Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), berbuat demikian kerana mereka Islamophobia.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata perasaan fobia terhadap Islam adalah punca mengapa pihak terbabit sanggup membuta tuli menentang pindaan akta berkenaan yang bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Ini (menentang RUU 355) semata-mata kerana Islamofibia. Sikap membuta tuli nak lawan Islam, apabila sebut Islam nak lawan, …ini fikiran yang tidak betul.

“Mereka yang menentang RUU 355 tidak berfikir secara matang dan rasional. Ini bukan hukuman hudud kerana itu terpulang pada pada bidang kuasa negeri.

“RUU 355 ini hanya untuk membolehkan negeri melaksanakan sebahagian hukuman mengikut syariat Islam seperti sebat. Hudud tidak boleh lagi (dilaksanakan) kerana ada halangan lain,” katanya berucap pada majlis Makan Malam Dan Dialog Politik Bersama Presiden PAS di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyatakan persetujuan untuk menyokong RUU 355 apabila dibentangkan di Parlimen nanti.

“Perkara ini ada sudah dibincangkan dalam satu mesyuarat antara kami dan daripada segi prinsip, dia bersetuju terhadap RUU 355. “Dalam mesyuarat hanya ada seorang saja wakilnya iaitu Tan Sri Muhyiddin sebagai satu-satunya ahli Parlimen PPBM.

“Dia beri komitmen apabila isu ini dibentangkan di Parlimen, dia tak ada masalah (untuk menyokong) kerana ini untuk naik taraf Mahkamah Syariah dan bagi beliau, tak ada masalah menyokong,” katanya.

Berita Harian

Comments