Home Surat Islam & Sarjana ‘Fake News’

Islam & Sarjana ‘Fake News’

SHARE

“If we believe absurdities, we shall commit atrocities.” Voltaire

Pemahaman Barat terhadap Islam sejak berakhirnya Perang Dingin sememangnya tidak pernah baik. Usai menjadikan blok Komunis USSR badut dunia, Barat, terutamanya selepas peristiwa 11 September 2001 atau 911 sering mengisi kotak-kotak tv dengan insiden dan berita maha jahat tentang Islam dan penganutnya.

Islam, sebagai dajal orde baru dunia.

Pendek kata kini, seribu satu permasalahan, tolak Russia dan China, dan sekali-sekala Korea Utara, layak diletak di atas bahu Muslim dan agama mereka, Islam.

Belum kebah berita tentang tokoh politik Demokrat Sweden, Martin Strid yang mengklasifikasikan penganut Islam sebagai separa manusia, kita dikejutkan pula dengan dakwaan yang dibuat oleh Peter Hoekstra, Duta Amerika Syarikat ke Belanda yang mendakwa Muslim sebagai punca kacau-bilau yang berlaku di Eropah dan di seluruh Belanda!

Peter Hoekstra yang juga berketurunan Belanda cuba menafikan ada berbuat demikian dan menggelarnya (pula) sebagai ‘fake news’.

Di tanah air kita sendiri, negara yang mengabsahkan Islam sebagai Agama Persekutuan, kebanyakan daripada kita seolah-olah menutup sebelah mata apabila Clive Kessler, pensyarah di University of New South Wales, Australia menyuarakan pandangannya, bahawa ISIS dan militan Islamis ekstremis berakar umbi daripada Islam arus perdana dan sejarahnya.

“ISIS and cognate form of militant Islamists extremism have the doctrinal source in mainstream Islam and build upon it in Islamic history and civilization. They have roots in mainstream Islam and its history.”

Tentulah kita semua tahu, ianya tidak masuk akal. Malah ianya tidak lebih daripada satu lagi usaha kempen ‘fake news’ besar-besaran yang cuba diketengahkan Barat dengan menggunakan lesen wacana akademik.

Jika Rasulullah SAW sering digambarkan sebagai pengganas berserbankan bom di kepala, tentunya kita tidak hairan jika Islam arus perdana yang dibawa baginda Rasulullah sendiri, yang dianuti majoriti umat Islam sedunia, difitnah sedemikian rupa.

Hakikatnya, Clive Kessler yang sering diangkat liberalis Malaysia, masih mampu keluar masuk negara ini dengan bebas, sihat-walafiat. Jika benarlah apa yang didakwa beliau, tentunya perkara yang sebaliknya berlaku.

Industri ‘fake news’ bukan calang-calang anak, ianya mampu menggegar dunia, mengorbankan nyawa malah menghancurkan negara.

Persoalannya, berapa ramaikah daripada kita yang mudah termakan alasan-alasan yang tidak masuk akal ini?

Sebab adakalanya, sesuatu yang tidak masuk akal akan diucapkan oleh seorang yang dikenali sebagai seorang Prof Emeritus. Adakalanya ianya diucapkan di forum-forum besar, yang adakalanya berprestij antarabangsa.

Malah, yang lebih merisaukan ialah apabila sesuatu yang tidak masuk akal itu diucapkan atas nama kebebasan wacana akademik, seperti menuduh Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) sebagai sebuah outfit radikal, ekstrim dan kaki fitnah yang menentang ‘cultural diversity’ hanya kerana ‘pluralisme agama’ yang ditentang badan pemikir tempatan tersebut secara berperlembagaan disalah tafsirkan sebagai kepelbagaian budaya.

Mungkin apa yang dikatakan oleh pihak IKSIM, bahawa perbuatan tersebut kelak tidak mustahil bakal menjerumuskan beberapa agensi dan badan keagamaan negara dan tentunya ribuan pekerja-pekerja terbabit, turut dikategorikan sebagai ‘radikal’ dan ‘pelampau’, adalah benar.

Dan tentunya kita tahu apa yang bakal terjadi kepada mereka-mereka yang hanya disyaki sebagai pengganas atau ‘ISIS’ melalui kes Khalid Al Masri, warga Jerman berketurunan Lubnan yang ditangkap ejen CIA dengan bantuan ejen-ejen Macedonia. Beliau bukan saja ditahan tanpa bicara untuk bertahun lama, malah sering disoal-siasat, dibogelkan, didera secara fizikal malah juga diliwat sebelum dibebaskan dan kemudiannya mendapat pampasan berjumlah enam puluh ribu euro setelah menang kes saman kerajaan Macedonia.

‘Fake news’ adalah satu jenayah. Ejen-ejen ‘fake news’ perlu dibawa ke muka keadilan. Ini tidak bermakna pintu dialog sudah ditutup rapat. Cumanya, dialog tidak harus dijadikan ‘an afterthought’. Mana-mana cendekiawan harus faham dan akur dengan hakikat ini.

Dialog tidak harus juga cuba digunakan sebagai alasan untuk lari daripada kesalahan jenayah. Mana-mana pakar perlembagaan, yang layak dihormati, wajib faham itu!

Comments