Home Kolumnis Islam, Raja-Raja & Melayu – Berpisah Tiada!

Islam, Raja-Raja & Melayu – Berpisah Tiada!

SHARE

Demi sesungguhnya, hubungan akrab Raja-Raja dan orang-orang Melayu telah memasakkan hegemoni intim struktur sosiopolitik Melayu sejak zaman-berzaman. Inilah tema utama yang dipersembahkan penuh istiadat di sebalik Majlis Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April 2017 lalu. Dimulai dengan istiadat utama di mana SPB YDP Agong telah mencium naskhah Al-Qur’an yang melambangkan sesungguhnya baginda akan memelihara kesucian dan kedaulatan Islam, diikuti istiadat mencium Keris Panjang DiRaja selaku lambang Kekuasaan Memerintah Negara dan berakhir dengan Titah Ikrar DiRaja Yang Memerintah di hadapan rakyat jelata.

Arakian, ketiga-tiga adat tradisi utama pengisytiharan ketua negara Malaysia yang tersebut di atas sebenarnya adalah selaras dengan lafaz Sumpah Jawatan pelantikan oleh SPB YDP Agong sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan. Demikianlah tersusun indah lagi tertib adat istiadat Sistem Raja Berperlembagaan Malaysia yang berasaskan penggiliran sembilan orang Raja-Raja yang memerintah Negeri-Negeri Melayu. Ia menjadikan Malaysia teramat unik dalam dunia moden masa kini bagi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat pasca Perang Dunia Kedua.

Perlu diingat, bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu yang pernah memerintah Negeri-Negeri Melayu suatu ketika dahulu sebelum kehadiran kuasa asing British, sebenarnya  tidak terusik langsung (Abdul Aziz Bari, 2009, ms. 92-94) dengan termeterainya perjanjian-perjanjian antara baginda semua dengan pihak British, bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 dan berakhir dengan Perjanjian Johor pada tahun 1914 kerana kedudukan Negeri-Negeri berkenaan adalah sebagai “Protected Malay States” atau “Protectorates,” yakni berupa Negeri-Negeri di bawah ‘lindungan’ British dan bukannya ‘jajahan’ British berbanding Negeri-Negeri Selat.

Demikianlah tersurat sejarahnya, bahawa tiga entiti mantap berkenaan – Islam, Raja-Raja dan orang Melayu – yang diabadikan di dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetap mengekalkan adat dan tradisi turun-temurun kedaulatan Raja-Raja Melayu yang memerintah Negeri-Negeri di Tanah Melayu itu sebenarnya telah berpasak sejak sekian lama. Luluhur susur-galurnya berakar-umbikan ‘perlembagaan’ Kesultanan Melayu Melaka itu sendirinya (Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned, 1995). Hakikat ini turut diperakukan juga oleh fakta sejarah benar Tanah Melayu oleh sekian ramai sarjana sejarah dan pakar perundangan luar negara dan anak tempatan sendiri.

Jika sudah sedemikian kukuh asasnya, barangkali tiba masanya para sarjana tempatan lainnya mula menggali semula dan memperbetulkan leluhur dan susur galur khazanah sejarah benar tamadun Alam Melayu (Zaharah Sulaiman et al, 2016). Tiga Tiang Seri utama: Islam, Raja dan Melayu memang telah wujud berpasak sejak zaman-berzaman, berkait rapat dan berpisah tiada. Tanah Melayu sememangnya bumi dan hak milik orang-orang Melayu yang diperintah oleh Raja-Raja Melayu (Khoo Kay Kim, 2015). Hakikat ini turut diakui sepenuhnya oleh British sebelum merdeka, ketika menguasai negeri-negeri Melayu sehinggalah detik pihak British menyiapkan perlembagaan baru menerusi Suruhanjaya Reid pada tahun 1957.

Justeru itu, terpahat teguh dalam lipatan sejarah bahawa sebuah negara-bangsa Melayu sudahpun dibangunkan sekian lama dan memiliki institusi kenegaraannya yang tersendiri bermula daripada Rajanya, Wazir (Memanda Menteri), Temenggong, Panglima dan Syahbandarnya sebagaimana termaktub dalam historiografi Melayu yang tidak ternilai mutu penulisan dan pengkisahannya seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Acheh dan sumpamanya (Denisova, 2012). Di sinilah kerajaan hari ini mesti memainkan peranan supaya pengajian berterusan dan mendalam terhadap khazanah dan manuskrip Melayu diperhebatkan untuk merungkai isi kandungan sejarah benar dan hikmah mutiara abadi Melayu yang telah lama dipersembahkan dari perspektif yang tidak semestinya memberikan gambaran yang sebenar.

Sehubungan ini, teringat kita akan kata-kata bijaksana tokoh besar Melayu sekitar 1857, iaitu Raja Ali Haji – seorang Pembesar Melayu, sarjana dan sejarawan Melayu – bila mana beliau pernah berkata: “Dan jika kita hendak memiliki hati manusia dengan jalan shafaqah (kasih sayang), dan dengan jalan yang disuruhkan Allah Ta‘ala maka iaitu dinamakan adil. Kerana alamat raja yang adil itu harimau dengan kambing boleh sepermainan apalagi isi negerinya. Adapun  alamat raja yang zalim itu anak dengan bapanya berbunuh-bunuhan. Inilah alamat yang besar  seperkara lagi pula apabila negeri berseteru setengah daripada setengahnya niscaya penuhlah negeri itu dengan umpat-berumpatan, adu-mengadu, berjatuh-jatuhan setengah atas setengahnya, jadi negeri itu sekotor-kotor negeri dan secemar-cemar tempatnya” (Khalif Muammar, 2016,  ms. 43-44).

Sesungguhnya, sejarah telah merakamkan bahawa luluhur tiga tiang seri itu bermula dengan  Waadat Agung Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun yang cukup bermakna bila mana terpeterinya Janji Setia Agung Melayu Purbakala berkenaan:

“Jikalau anak patik Tuanku peristeri, nescaya kedallah ia; tetapi jikalau Tuanku mahu berwaadat dengan patik, maka patik persembahkan anak patik kebawah Duli Yang Dipertuan.” Maka titah sang Sapurba,” Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”

Dengan terkisahnya dua dialog klasik di atas, maka termaktublah satu Janji Setia yang melahirkan konsep “bersultan dan berhamba” dalam adat-istiadat masyarakat Melayu, khususnya konsep pemimpin dan pengikut dalam pengertian pemerintahan pada zaman moden kini. Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat jelata memberi syarat untuk mempersembahkan anaknya sebagai isteri Sang Sapurba bahawa “Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan, hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu Duli Tuanku dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, janganlah difadhilatkan dengan kata-kata yang jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh itupun jikalau berlaku pada hukum syarak.”

Sang Sapurba kemudiannya memberikan balas syaratnya; “Akan pinta bapaku itu hamba kabulkan, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba; hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekali pun.” Lalu sahut Demang Lebar Daun yang masih mahu memperkuatkan janji setia pada pihaknya dengan berkata: “Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahnya,” diikuti perkenan Sang Sapurba.

Waadat purbakala tersebut, bagi kebanyakan pengkaji sejarah dan kesusasteraan Melayu klasik, telah meletakkan asas terawal hubungan hegemoni raja dan rakyat dalam satu kelompok unit sosiopolitik Kerajaan Melayu Lama yang wujud pada zaman itu. Satu perkara utama yang mesti kita perhatikan juga ialah elemen hukum syarak yang disyaratkan dalam waadat berkenaan, iaitu hukuman hanya boleh dilakukan setelah melalui proses timbang tara berasaskan hukum-hukum Islam semata-mata.  Aku janji ini diteruskan sehingga ke hari ini menerusi “Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu” yang diikrarkan pada 5 Ogos 1957 oleh semua Raja-Raja Melayu di ambang kemerdekaan Tanah Melayu (Ramlah Adam, 2012). Itulah manifestasi Tiga Tiang Seri Melayu berupa tiga pasak utama institusi Islam, Raja-Raja dan orang Melayu di Alam Melayu.

Untuk maksud itu, generasi Malaysia pelbagai kaum hari ini perlu disekolahkan seadanya agar tidak menafikan sejarah benar di atas.  Itulah persefahaman Kontrak Sosial yang telah dimeterai oleh pimpinan bukan Melayu-Islam praMerdeka. Sesungguhnya Raja-Raja dan warga asal Melayu sudah berkorban menukarkan “Tanah Melayu” menjadi “Malaysia” demi membina sebuah negara bangsa baru atas dasar muafakat dan semangat muhibbah berdasarkan intipati Perlembagaan Persekutuan yang berakar-umbikan perlembagaan Kesultanan Melayu Melaka di mana Agama Islam telah memainkan peranan utama sebagai asas pembinaan sebuah tamadun.

Akhir kalam, maka benarlah Janji Setia Agung terdahulu bahawa demi sesungguhnya  raja dan rakyat memang sebegitu akrab dan jangan diganggu-gugat apatah lagi dipisah-ceraikan buat selama-lamanya, sebagaimana yang pernah dinasihatkan oleh Raja Ali Haji.  Hanyasanya kita berharap premis agung ini mampu dipertahan oleh generasi sekarang lalu diperturunkan kepada anak-anak muda masa kini kerana sebahagian daripada mutiara hikmahnya masih terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan yang kita nobatkan sebagai the highest Law of the Land!

Rujukan

Abdul Aziz Bari. (2009). Konsep Raja Berperlembagaan Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, ms. 91-108 dalam Kumpulan Kertas Kerja Seminar 60 Tahun Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu – Asas Negara Merdeka. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.

Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned. (1995), The Malaysian legal system. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Desinova, Tatiana. (2011). Refleksi Historiografi Alam Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.


Khalif Muammar A. Harris (2016). Ilmu Ketatanegaraan Melayu Raja Ali Haji: Thamarat al-Muhimmah & Muqaddimah fi Intizam Waza’ if al-Malik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kim, Khoo Kay. (2015). ‘Malaya for the Malays’. Wawancara dengan portal ISMA pada 27 Ogos 2015 dalam http://www.ismaweb.net/2015/08/malaya-for-the-malays-kata-profesor-emeritus-tan-sri-dr-khoo-kay-kim/.


Ramlah Adam (2012). ‘Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu: Satu Analisis Sejarah dan Perlembagaan Negara Malaysia’ dalam http://profdatinpadukadatukdrramlahadam.blogspot.my/2014/10/7-wasiat-raja.html. 2 Oktober 2014.


Zaharah Sulaiman et al. (2016). Asal Usul Melayu, Unduknya di Benua Sunda. Tanjung Malim: Universiti Perguraan Sultan Idris.

*Hj. Zainal Zainuddin merupakan pembaca Menara.my. Artikel di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Menara.my

Comments