Home Tempatan Islam Rahmatun Lil Alamin Bukan Islam Liberal?

Islam Rahmatun Lil Alamin Bukan Islam Liberal?

SHARE

Dalam artikel bertajuk “Kerajaan P Pinang nafi sebar ‘Islam liberal’” terbitan Free Malaysia Today, Abdul Malik Kassim, Exco Hal Ehwal Islam menegaskan kerajaan Pulau Pinang tidak mempromosikan “Islam Liberal”, tetapi “Islam Rahmatun Lil Alamin”. Ia tidak sepertimana didakwa Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Fauzi Yusuf.

Namun, timbul persoalan lain, apakah yang dimaksudkan dengan ‘Islam rahmat bagi seluruh alam’ yang mahu dipromosikan? Adakah Islam seadanya bukan rahmat bagi sekalian alam? Adakah ini aliran Islam yang baru? Atau ianya mazhab baru dalam Islam? Jika ianya mazhab baru, apakah pembaharuan yang dibawanya? Adakah pembaharuan ini dari aspek aqidah ataupun fiqh? Atau ‘Islam rahmat bagi seluruh alam’ adalah satu bentuk Islam tanpa syariat yang bebas ditafsir semberono mengikut nafsu sesetengah pihak?

Adakah ‘Islam rahmat bagi seluruh alam’ menyuruh kita untuk menghalalkan perbuatan murtad dan mengabsahkan LGBT? Jika inilah yang dimaksudkan ‘Islam rahmat bagi seluruh alam’, Penang Institute (PI) mungkin sudah tersalah trajektori.

Ramai yang mendakwa PI sering cuba membawa satu pemahaman Islam yang baharu. Versi alternatif kepada pemahaman Islam yang dikatakan kononnya lebih sesuai dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama. Kata-kata Abdul Malik bahawa kerajaan Pulau Pinang tidak mempromosikan Islam ‘liberal’ nampaknya bercanggah dengan tindak-tanduk PI sendiri.

Ingin dinyatakan bahawa Islam ‘liberal’ itu bukan pada nama, akan tetapi mengikut tindak-tanduk organisasi atau orang perseorangan yang membawa gerakan tersebut.

Dengan memanggil seekor keldai sebagai kuda, ia tidak akan menjadikan keldai itu lebih cantik, mahupun kuda itu lebih hodoh.

Comments