Home Tempatan “Islam Rahmatan lil Alamin” – Hanya slogan, berselindung di sebalik Islam liberal

“Islam Rahmatan lil Alamin” – Hanya slogan, berselindung di sebalik Islam liberal

SHARE

“Islam Rahmatan Lil Alamin” yang giat dipromosikan oleh Kerajaan Pulau Pinang sebenarnya hanya “slogan tanpa pengisian” dan secara halus berselindung di sebalik Islam Liberal dengan fahaman Barat bertujuan mencetuskan kekeliruan serta huru-hara dikalangan rakyat terutamanya umat Islam di dalam Negara ini.

Mengulas isu ini lebih lanjut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, banyak bukti-bukti sebenarnya termasuklah yang telah disebut oleh Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof berhubung Kerajaan Negeri DAP yang sememangnya berniat menghalang pemerkasaan Islam Di Pulau Pinang.

“Terbaru disebut oleh Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamuddeen, tentang bagaimana pemberhentian kontrak bekas Mufti Dato’ Seri Hassan Ahmad disebabkan isu fatwa kalimah Allah, ini jelas menunjukkan sesiapa sahaja yang tidak ingin berpihak kepada mereka pasti dipecat.

“Kerajaan Pulau Pinang memang tidak serius untuk memperkasakan Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah bermazhab Syafie apatah lagi untuk memahaminya,”katanya.

Kata beliau, pemerkasaan Islam yang dimaksudkan kerajaan DAP sebenarnya tidak betul dan ia lebih menjurus kepada Islam Liberal di mana Islam yang mengikut cara rekaan mereka sendiri atau lebih tepat Islam yang merujuk kepada ciptaan Amerika.

“Jelas Kerajaan DAP hari ini adalah sebagai salah satu kerajaan yang berpaksi kepada barat yang kini meletakkan pula Islam berslogan Islam Rahmatan lil Alamin, Islam Rahmat Seluruh Alam, Islam Rahmat Untuk Semua tanpa pengisian dan kefahaman,” katanya.

Menurut Dr Mohd Zuhdi, sebenarnya rahmatan lil alamin itu bukan slogan ianya kenyataan tentang keseluruhan Islam itu sendiri dan perlu difahami  dan dihayati dengan sebenarnya sebagai contoh dari segi perundangan seperti melaksanakan Hudud, itulah rahmat kepada seluruh alam.

Beliau berkata, sepatutnya Islam itu dipegang dan diamal dengan secara menyeluruh termasuk, di dalam sistem perundangan, ekonomi mahupun politik bukannya hanya dijadikan slogan semata-mata sekadar memperaga fesyen gaya ala-ala Islamik tanpa pengisian.

Seperkara merujuk kepada Penang Institute(PI) ini yang seolah-olah mempromosikan versi Islam yang mereka suka dengan membuat kempen memanggil beberapa “tokoh agama” yang mereka gemar seperti Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Tariq Ramadan yang umum sudah mengetahui fahaman agama mereka yang diragui dan bercanggah walaupun mereka ini ada nama di medan debat dan di Negara Barat selain mempunyai pengikut minoriti yang diistilah sebagai “orang yang gagal faham” mengenai Islam sebenar.

“Mengapa masih memanggil tokoh yang bercanggah fahaman dan mazhab Islamnya, jika PI mempunyai niat yang baik mengapa tidak menjemput orang yang berautoriti dalam agama dan di landasan yang betul berkaitan dengan ilmu Islam, bukan sebaliknya,”katanya.

Beliau berkata, ini jelas memperlihatkan bagaimana PI mahu mempromosi idea Islam cara barat, maka dengan itu mereka menjemput tokoh-tokoh ala-ala Islam yang disukai pandangan mereka sekaligus memudahkan penyebaran wabak fahaman Liberal yang  bersembunyi disebalik slogan rahmatan lil alamin yang mengelirukan masyarakat Islam terutamanya golongan belia.

Ketika diminta pandangan mengenai Islam Liberal yang sinonim dengan PI, beliau sebenarnya meragui berhubung kedudukan PI di bawah Kerajaan Negeri dan mempersoalkan adakah PI sebahagian agensi Kerajaan Negeri jika ya, ia diletakkan di bahagian mana?

“Ataupun satu agensi yang berlainan, kalau agensi yang berlainan dari mana mereka memperolehi sumber kewangan, jika Kerajaan Negeri yang memperuntukkan dana kenapa diberi, pasti terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi, bagaimanapun saya tidak mahu membangkitkan perkara tersebut.

“Cuma jika PI mendapat sumber kewangan dari pihak yang lain, sumber kewangan tersebut daripada siapa, itu yang perlu kita persoalkan?

“Adakah mereka perolehi sumber dari pihak yang mempunyai agenda tersembunyi yang menyalurkan dana bagi penyebaran fahaman wabak kronik yang bertujuan merosakkan akidah umat Islam?

“Kita bimbang sebagaimana yang disebut dalam laporan beberapa agensi sekitar 2007 iaitu The Building Moderate Muslim Network, di mana mereka ini merupakan penasihat dari badan luar keselamatan Amerika  yang bertujuan membantu gerakan moderate atau Islam Liberal.

“Ini antara perkara yang menimbulkan kecurigaan kita, perkara ini pernah disebut dan dipopularkan di dalam PAS oleh Mat Sabu sendiri sebelum dia disingkirkan iaitu Islam ala Amerika bermaksud Islam yang Amerika Setuju.

Katanya, hal ini disebabkan Amerika merupakan satu kuasa Imperialis iaitu kuasa yang banyak menindas umat Islam, jadi Islam mengikut cara mereka itulah yang hendak dipromosikan diseluruh dunia dengan membuka banyak cawangan bagi merealisasikan agenda jahat mereka.

Menurutnya, itulah kebimbang pihaknya dan meragui DAP Pulau Pinang mungkin termasuk di dalam rangkaian untuk mempromosikan Islam yang Amerika setuju ini bagi tujuan melawaskan kehendak nafsu politik mereka.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sepatutnya perlu mempunyai ketegasan dalam membasmi golongan ini selain memainkan peranan masing-masing di bawah peruntukan yang dibenarkan dan hak-hak di bawah enekmen perundangan yang ada pada JAKIM sendiri.

“Bagaimanapun itu langkah  yang bersifat sementara sahaja,”katanya.

Menurutnya, program jangka masa panjang iaitu langkah yang paling penting sekali ialah dari segi kita perlu menyediakan golongan-golongan ilmuan untuk mengatasi ataupun berhujah dengan pihak berkenaan sehinggalah ia akhirnya dapat ditenggelamkan, termasuk langkah untuk mendidik masyarakat bagi melahirkan pihak yang dapat berhujah agar golongan liberal ini tidak mampu lagi untuk mengetengahkan idea-idea lemah mereka.

Kata beliau, sehingga kini PAS tetap konsisten dengan apa yang diperjuangkan walaupun ada beberapa golongan yang cuba membawa masuk pemikiran Islam Liberal  ke dalam PAS sendiri tetapi individu-individu itu sudah tersingkir.

“Dari posisi sebagai parti politik kita akan menggunakan sekatan politik untuk memastikan agenda Islam Liberal tidak berkembang di Malaysia termasuk menggunakan pendekatan ilmu untuk menjelaskan perkara ini.

“Bagaimanapun jika ada yang hendak memberi pandangan  ataupun mengkritik ianya boleh dilakukan tetapi biarlah mengikut kaedah ilmiah contohnya seperti debat dan penerangan bersama pihak universiti tetapi bukan dikalangan orang awam secara semberono saja.

“Jadi peranan jabatan agama ialah menyekat sebaran terhadap orang awam termasuk memantau secara serius penularan wabak fahaman-fahaman moden ini termasuk di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kerana dikhuatiri menimbulkan kesalahfahaman sehingga menimbulkan fitnah dan kemusnahan yang akhirnya mencetuskan ketidakstabilan dan perpecahan dikalangan rakyat di dalam Negara ini,”katanya.

Comments