Home Pendapat Islam Moderat: Cara Menyesatkan Umat Islam

Islam Moderat: Cara Menyesatkan Umat Islam

SHARE

Islam moderat merupakan satu pemahaman Islam yang pada mulanya telah berjaya menarik perhatian banyak pihak. Namun, setelah masa berlalu dan ‘kebenaran’ Islam moderat terserlah, maka terbukti ianya hanya sekadar retorik. Kini, Islam moderat menjadi satu alat untuk menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam itu sendiri.

Pada awalnya, Islam moderat ini kelihatan sebagai satu ideologi yang menentang ekstremisme yang dibawa oleh kumpulan seperti Taliban, al-Qaeda, al-Shahab dan lain-lain lagi. Tetapi, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Kumpulan-kumpulan ini menyerlahkan warna-warna mereka yang sebenar.

Sebagai contoh, pengikut Islam moderat inilah yang mula mempersoalkan aurat wanita, ibadah-ibadah dalam Islam, menghalalkan LGBT, konsep dosa peribadi yang tidak kena pada caranya dan lain-lain konsep yang nyata tidak selari dengan pemikiran Islam.

Punca utama kepada masalah ini adalah ‘kebolehan’ setiap pengikutnya untuk mentafsirkan Qur’an dan Hadith, sebagaimana yang dikehendaki mereka tanpa memerlukan sanad dari guru mereka, pemahaman bahasa Arab mahupun ilmu alat untuk melayakkan seseorang itu untuk menafsirkan Kalam Allah.

Selain tafsiran Qur’an mereka sendiri, pendapat golongan orientalis juga boleh digunapakai, dalam erti kata lain, segala yang tidak selari dengan Islam itu adalah dialu-alukan.

Hasil pendekatan ‘suka hati’ ini telah membawa kepada pelbagai penafsiran Qur’an dan Hadith seperti Nabi menganjurkan seks sesama lelaki (nauzubillah, Allahumma inni a’uzubika minal jahileen wal munafiqeen), semua agama itu sama, menutup kepala bukan sebahagian daripada aurat, hubungan homoseks dibolehkan dalam Islam, lelaki dan perempuan boleh solat bersebelahan serta lain-lain pendapat yang tidak pernah wujud khilaf sekalipun.

Hasil kejayaan kumpulan ini di Barat telah membuka jalan dan peluang untuk mereka bertapak di negara-negara Islam. Bermula dengan penapakan di Barat, mereka mendapat kebebasan untuk bersuara dan melemparkan fitnah terhadap Islam sesuka hati mereka. Sungguhpun dikecam di Barat, mereka tetap dengan pendirian mereka hasil sokongan rakan-rakan seperjuangan mereka.

Sebagai contoh, Zuriani Khalid yang menjadi pelopor gerakan LGBT Muslim di Amerika Syarikat melalui pertubuhan Muslims for Progressive Values (MPV) yang juga mempunyai cawangan di Malaysia. Zuriani sekarang merupakan kadi nikah sejenis dan nikah campur agama. Kalau seorang wanita Islam hendak berkahwin dengan seorang lelaki bukan Islam, atau sebaliknya, bolehlah mendapatkan perkhidmatan Zuriani Khalid.

Di Malaysia pula cawangan gerakan ini, Komuniti Muslim Universal (KMU) sering menganjurkan program yang melibatkan belia-belia Islam bersama evangelis, dalam gereja yang mana disertai oleh pendukung gerakan LGBT di Malaysia. Ini hanya satu contoh gerakan untuk menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam.

Tidak hairan, kebanyakan gerakan seperti ini berpusat di Barat dan menggunakan kuasa media untuk memberi pemahaman baru tentang nilai-nilai kemanusiaan dan ‘kesalahan’ dalam agama, khususnya agama Islam.

Hasil gerakan ini, ramai ‘ulamak’ yang bersama mereka seperti Seyran Ates, Amina Wadud, Elham Manea dan lain-lain lagi. Mereka mendampingi nilai-nilai yang bertentangan dengan cara hidup Islam sebagai nilai-nilai kemanusiaan yang perlu diterapkan ke dalam masyarakat.

Muslimah yang dahulunya bertudung akhirnya mula mendedahkan aurat sedikit demi sedikit kerana pengaruh gerakan-gerakan ini yang kononnya memberi nafas baru kepada Islam. Sungguhpun gerakan-gerakan sebegini sukar untuk mendapat sokongan di negara-negara Timur Tengah, namun di Malaysia dan Indonesia, pengaruh golongan ini agak kuat serta sedang meluaskan pengikut di negara-negara seperti Pakistan dan Bangladesh.

Tiada cara lain untuk mengubat kejahilan melainkan dengan ilmu, namun demikian sumber ilmu tersebut perlu dipastikan sahih. Guru-guru perlu memiliki sanad dan ajaran mereka harus berpandukan ulamak mu’tabar serta salafus soleh. Individu yang mementingkan populariti sudah tentu tidak sesuai untuk menjadi guru. Ini kerana, pendapat mereka akan berubah-ubah selari dengan perjuangan mereka untuk mendapatkan populariti daripada para penyokong.

Mungkinkah umat Islam telahpun menjadi buih di lautan seperti yang diramalkan oleh Rasulullah ﷺ? Sekiranya jawapan kepada persoalan ini adalah “ya”, maka banyak yang perlu difikirkan tentang keadaan umat pada hari ini.

Kebenaran yang hakiki itu adalah daripada Allah S.W.T. dan segala apa yang mencampuri kebatilan dengan kebenaran itu bukanlah kebenaran tetapi kebatilan. Islam agama manusia semenjak Nabi Adam, amatlah rugi jika Islam ditinggalkan untuk nilai-nilai ciptaan manusia yang hanya menambah penyakit dan kesengsaraan hidup di dunia dan akhirat.

Comments