Home Pendapat Islam Membebaskan Wanita Dan Liberalisme Menghambakan Wanita

Islam Membebaskan Wanita Dan Liberalisme Menghambakan Wanita

SHARE

Seringkali terdengar kicauan suara yang mengatakan Islam menindas hak wanita. Kononnya, wanita Islam tidak diberikan kebebasan, keadilan dan sangat mundur walaupun hidup dikelilingi kemodenan dunia. Tuduhan tidak berasas para orientalis Barat dan mereka yang menganut fahaman liberal sudah tentu menyimpang kerana kedatangan Islamlah yang mengangkat semula darjat wanita yang ditindas dan dipijak sebelum ini.

Tanpa disedari, terlalu banyak penindasan yang dilakukan oleh Barat atas nama kebebasan dan pembelaan ke atas kaum wanita. Pasti ada antara kalian yang pernah membaca berita tentang beberapa orang wanita ditangkap kerana memakai ‘burkini’, iaitu baju renang menutup aurat di pantai Cannes, Perancis1. Hal ini jelas membuktikan hak wanita untuk menutup aurat dinafikan.  Walhal, bukankah Barat kononnya memperjuangkan hak dan kebebasan wanita dalam masyarakat?

Hak pemilikan harta diberikan Islam kepada kaum wanita lebih awal daripada apa yang berlaku di Barat. “Berdasarkan the Encyclopaedia Americana, Undang-undang Common Law Inggeris yang awal memperuntukkan kesemua harta yang dimiliki oleh seorang wanita akan bertukar menjadi harta suami setelah mereka berkahwin.”2 Sekitar tahun 1870an, barulah Eropah meminda undang-undang tersebut dengan membenarkan wanita memiliki harta. Begitu juga Perancis, dimana hak memiliki harta bagi kaum wanita diberi sekitar tahun 1938.3 Sedangkan hak pemilikan harta kepada kaum wanita dalam Islam telah wujud sejak 1400 tahun dahulu.

Konsep identiti seorang wanita di Barat seolah-olah terpadam apabila nama keluarga dan nama mereka sendiri dihilangkan setelah mereka berkahwin. Mereka hanya boleh menggunakan nama suami atau nama keluarga suami. Tindakan ini jelas sekali menafikan hak wanita untuk memiliki identiti mereka sendiri. Adakah ini yang dimaksudkan oleh Barat dalam memartabatkan hak wanita?

Apa yang lebih tragis, kaum wanita tidak diberikan hak yang sewajarnya dalam bidang pendidikan.Mereka tidak dibenarkan masuk ke universiti dan mana-mana pusat pengajian untuk menuntut ilmu seperti kaum lelaki. Dengan tertubuhnya Universiti Zurich di Eropah pada tahun 1840, barulah wanita diberi peluang dalam bidang pendidikan.

Jauh berbeza dengan Islam dimana tidak kira lelaki atau wanita, semua umat Islam dituntut dan dibenarkan untuk menuntut ilmu. Ketahuilah, Islam tidak pernah menafikan hak wanita dalam semua perkara termasuklah hak pendidikan. Menurut UNESCO, Universiti Qarawiyyin di Maghribi adalah sebuah institusi pendidikan yang paling lama beroperasi di dunia. Malah, apa yang lebih menakjubkan lagi, ia diasaskan oleh kaum wanita Islam.5 Wanita Muslim memang hebat!

Dari segi politik, wanita Islam telah lama terlibat dalam bidang ini berbanding wanita Barat. Sebagai contoh, peristiwa Bai’áh al-Aqabah semasa zaman Rasulullah s.a.w. Manakala, dunia Barat baru memberikan hak mengundi kepada kaum wanita pada tahun 1869 di Amerika Syarikat diikuti negara-negara Barat yang lain.6 Barangkali, mereka baru tersedar akan pentingnya peranan wanita dalam politik.

Sistem Barat turut menafikan hak wanita untuk bekerja. Bagi mereka, wanita hanya layak duduk di rumah dan keinginan untuk para wanita bekerja tidak realistik. Atas dasar itulah lahir gerakan yang menuntuk hak wanita untuk bekerja di Amerika. Aneh sekali apabila Islam dituduh agama yang menindas dan ortodoks sedangkan Islam tidak pernah melarang wanita untuk keluar bekerja selagi mana ia tidak bertentangan dengan syarak. Ambil contoh Malahayati yang merupakan tokoh muslimah dan wanita pertama dunia yang menjadi laksamana di zaman pelayaran moden. Ini antara bukti, Islam tidak pernah jumud dan kolot seperti tuduhan palsu mereka.

Hak bersuara kaum wanita dirampas oleh Barat sekian lama. Wanita hanya perlu akur dengan sesuatu keputusan tidak kira apa pun. Ini amat mendukacitakan berbanding wanita Muslimah. Tercatat dalam sejarah Islam di mana seorang wanita telah mengkritik pendapat Saidina Umar Al-Khattab berkenaan kadar penetapan mas kahwin. Kenyataan wanita itu menyebabkan beliau menarik balik pendapatnya dan menerima pendapat wanita tersebut.

Hakikatnya, kedatangan Islam jelas memartabatkan kedudukan wanita di tempat yang selayaknya. Cuma, puak orientalis dan golongan anti-Islam sahaja yang sering memperjuangkan hak wanita Muslim yang konon-kononnya ditindas Islam. Penafian terang-terangan golongan ini amat memalukan.

Rujukan

1. Perancis tahan 10 wanita pakai bikini ‘tutup aurat’. (18 Ogos 2016) Free Malaysia Today

2. Dr Jasni Desk. Hak-Hak Wanita Ke Atas Harta Pusaka. 29 March 2012

3. Dr Jasni Desk. Hak-Hak Wanita Ke Atas Harta Pusaka. 29 March 2012

4. http://duniamaklumat.com/wanita-mengikuti-perspektif-barat/

5. http://mediapermata.com.bn/wanita-islam-pengasas-universiti-pertama-di-dunia/

6. Abdul Hadi Awang. Islam & Demokrasi. Diterbitkan oleh PTS

Comments