Home Tempatan Islam Diancam Liberalisme di Malaysia

Islam Diancam Liberalisme di Malaysia

SHARE

PUTRAJAYA, 17 Januari 2017 – Serangan pemikiran moden melalui penyebaran ideologi liberalisme sangat berbahaya kepada umat Islam kerana ia berupaya menggugat pegangan akidah dan menjadi ancaman kepada negara. Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Rashidi Wahab berkata, agenda Barat ini sebenarnya telah direncanakan lebih awal oleh golongan Yahudi, iaitu sebagaimana yang terkandung dalam Protokol Zionis. Antara kandungan protokol itu ialah Yahudi perlu menenengahkan dan membawa masuk idea kebebasan, iaitu liberalisme, kedalam negara-negara bukan Yahudi supaya dapat menggugat kestabilan agama dan politik dalam sesebuah negara itu. Pilihanraya perlu diatur supaya boleh memberikan kemenangan kepada para pemimpin yang dapat bertugas sebagai agen Yahudi dalam melaksanakan rancangan Yahudi.

Dalam zaman kini, berdasarkan pendedahan laporan RAND Corporation dari Amerika Syarikat, agenda Yahudi tersebut diteruskan oleh Barat dengan mengenengahkan kelompok Muslim Moderate (Muslim Liberal) atau juga dikenali sebagai Islam Liberal. Di Malaysia, golongan Islam Liberal ini telah mula memperjuangkan pelbagai isu bertujuan menyebarkan idea liberalisme secara lebih meluas. “Antara agenda golongan pelampau Muslim Liberal ialah memperjuangkan fahaman pluralisme agama dengan menyamatarafkan semua agama, agar kedudukan agama Islam sebagai agama yang paling benar dapat dihapuskan. Secara tidak langsung kedudukan agama Islam di Malaysia dapat direndahkan sehingga boleh mengundang kepada gejala murtad. Perkara ini selari dengan salah satu tuntutan IFC supaya membenarkan orang Islam untuk murtad tanpa dikenakan apa-apa halangan dan tindakan.”

Selain itu, golongan Islam Liberal juga berusaha untuk menghapuskan kedaulatan agama Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung. “Kedudukan agama Islam di Malaysia sebagai agama bagi Persekutuan, atau Islam sebagai agama negara, sengaja ditafsirkan dengan Islam sekadar agama rasmi sahaja. Tujuan mereka menyatakan demikian adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Sekular berpaksikan demokrasi liberal yang tidak terikat dengan agama Islam. Dengan sebab inilah mereka turut menentang pemerkasaan terhadap Mahkamah Syariah dan Undang-undang Syariah, seperti menentang Akta RUU355 dan sebagainya lagi. Mereka juga berhasrat untuk menghapuskan institusi-institusi agama Islam di Malaysia.”

Muhammad Rashidi berkata demikian ketika membentangkan tajuk “Pemikiran Liberalisme Dalam Wacana Agama dan Ancamannya di Malaysia” dalam Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-9” di Auditorium Besar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Seminar anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) dengan kerjasama JAKIM dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ini dirasmikan oleh YB Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Seminar sehari yang bertemakan “Liberalisme: Agenda Jahat Illuminati” dihadiri kira-kira 600 orang peserta.

Oleh itu, beliau yang merupakan antara pakar liberalisme di negara ini menyarankan semua pihak, khususnya institusi-institusi agama Islam di Malaysia, agar memainkan peranan masing-masing secara lebih aktif dan berstrategi bagi menangkis ancaman liberalisme di Malaysia. Beliau juga mencadangkan supaya lebih banyak pendedahan tentang liberalisme dapat dibuat di seluruh negara. Untuk rekod, fahaman liberalisme dan pluralisme agama telah difatwakan sebagai sesat serta menyeleweng dari syariat Islam oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak 2006 lagi. Manakala Sisters in Islam (SIS) pula difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 2014.

Comments