Home Tempatan Islam Ajar Tentang Sabar, Orang Islam Tidak Perlu Mengamuk – Ti Lian...

Islam Ajar Tentang Sabar, Orang Islam Tidak Perlu Mengamuk – Ti Lian Ker

SHARE

Kuala Lumpur: Jurang persefahaman antara kaum dan agama di Malaysia, semakin melebar dari hari ke hari. Walaupun terdapat pelbagai inisiatif dilakukan banyak pihak terutamanya kerajaan di dalam usaha untuk merapatkan jurang ini, ianya masih gagal diterjemahkan ke dalam bentuk praktik di kalangan rakyat pelbagai latar bangsa dan agama.

Jurucakap kumpulan G25, Dato’ Noor Farida Ariffin pernah mencadangkan supaya pendidikan satu aliran dijadikan teras permulaan bagi mengekang semua bentuk ketidaksefahaman ini. Lewat isu karikatur menghina Islam dan umat Islam oleh akhbar Nanyang Siang Pau, menara.my mengambil inisiatif untuk menghubungi Dato’ Seri Ti Lian Ker, Pengerusi Biro Harmoni MCA.

Ketika ditanyakan kepada beliau, apakah langkah yang patut diambil kerana sesudah puluhan tahun berada dalam kerajaan, parti Gerakan dan MCA tidak dapat merapatkan jurang sesama kaum di Malaysia ini? Beliau berkata, kita tidak boleh hanya salahkan MCA dan Gerakan sahaja.

“Mengapa tidak kita katakan inisiatif daripada kaum majoriti kurang dan tidak mencukupi atau budaya terlalu menunjuk kuasa, jadi kalau terlalu menunjuk dan kita sahaja tahan orang kita tetapi orang yang kuat tetap menggunakan kuku besi, menunjukkan mereka salah, maka ia akan tidak selari dan tidak seimbang,” katanya.

Menurut beliau, “kalau kita tengok, saya cakap terus teranglah, yang kuat-kuat ini biasanya UMNO dan PAS dan sebagainya, mana orang Cina berani pergi buat orang Melayu, biasanya kalau ada kemalangan pun yang kena pukul biasanya orang Cina.”

“Maksud saya masalah ini bukan masalah MCA/Gerakan, janganlah asyik salahkan MCA dan Gerakan sahaja. Ini masalah pendidikan dan cara pengurusan diri, cara pengurusan komuniti serta perhubungan insan dengan insan , masyarakat dengan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan, tanggungjawab ini terletak pada bahu semua pihak dan tidak adillah jika semua kesalahan hanya diletakkan di bahu MCA/Gerakan sahaja.

Beliau berkata, apabila MCA cuba tegur UMNO, UMNO marah, bila MCA tak tegur UMNO, orang lain pula marah kita, apa yang berlaku MCA terus tersepit selama ini dan berharap semoga semua pihak memahami, kita tidak mempunyai kuasa mutlak.

Kecaman oleh sesetengah pihak mendakwa MCA dan Gerakan tidak memberi kesedaran kepada ahli-ahlinya untuk menghormati agama Islam di Malaysia, beliau berkata, apa kena-mengena semua itu dengan MCA? Negara ini ditadbir oleh kerajaan dan kerajaan mentadbir dengan cara melibatkan semua pihak.

“Orang Melayu sendiri pun tak semua yang akur pada UMNO, orang Islam sesama sendiri pun banyak bercakaran apatah lagi kita sesama manusia, perhubungan insan dengan insan yang berbilang kaum,” katanya.

Ditanya apa perasaan dan pandangan beliau, kalau ada pihak lain masuk campur di dalam urusan agama-agama lain, beliau berpendapat, perkara seumpama itu memang pernah berlaku, cuma ianya tidak diwar-warkan.

“Bukankah sekarang kerajaan membenarkan masyarakat muslim untuk mencampuri urusan gereja dan sebagainya dalam lingkungan tertentu,” katanya.

Menurutnya, itu semua, saya rasa bukan matlamat ajaran islam dan itu adalah naluri dan ego sesetangah individu jadi kita kena bezakan apa itu agama apa itu tindakan individu, apa tindakan orang ikhlas dan apa tindakan orang yang berbaur politik.

“Bagaimanapun, saya harap masyarakat umum jangan terpengaruh dengan drama ataupun opera DAP ataupun PAS. Mereka semua ada berbaur dan agenda politik masing-masing, kalau kita terpengaruh kita juga yang jadi mangsa,” katanya.

Beliau berharap semua orang bertindak secara bertanggungjawab, kita sama-sama ambil iktibar dari kesalahan orang lain dan kita sendiri perlu akur terhadap undang-undang dan bertindak secara bertanggungjawab selain takut kepada kewujudan Tuhan.

“Saya rasa, salah tetap salah. Tetapi perlu dilihat kesalahan itu pada tahap apa dan mengikut skala yang mana. Salahnya kita, jika tiada justifikasi untuk kita mengamuk, adakah semangat Islam mendidik kita untuk mengamuk?”

“Saya rasa dalam Islam banyak juga mengajar tentang kesabaran,” katanya.

Menyentuh soal isu bukan muslim semakin melampau menghentam Islam seolah-olah mahu mencuba dan mencabar Islam beliau berkata, lima tahun dahulu lagi teruk dan sekarang ini sikap kurang ajar ini memang kurang.

Comments