Home Tempatan Islam agama negara mesti dipertahan

Islam agama negara mesti dipertahan

SHARE

SARANAN seorang tokoh anti-hadis, yang mahu kedudukan Islam sebagai agama negara dibuang daripada Perlembagaan melalui artikel bertajuk ‘Governments have no business meddling in Islam” adalah satu seruan yang tidak patut keluar dari minda seorang Muslim dan sudah tentu menggembirakan golongan sekularis dan liberalis.

Menurut beliau, perlembagaan perlu diubah, status agama persekutuan perlu dibuang. Sesebuah kerajaan mesti adil, sesuatu negara tak memiliki agama, hanya manusia yang ada agama.

Fahaman begini bukanlah pandangan yang baru dalam dunia Islam sendiri bahkan ia adalah mengulang semula terhadap apa yang digagaskan oleh beberapa tokoh di negara Islam sebelum ini. Lahir daripada jiwa kerdil yang tidak berasa mulia (izzah) dengan Islam dan tidak mengimani Islam sebagai cara hidup termasuklah kemampuan Islam memimpin sebuah negara dengan sistem-sistem kenegaraannya. Pandangan yang sangat terkesan dengan gagasan kemajuan yang diburu mesti menanggalkan ataupun melonggarkan ikatan agama dalam kehidupan.

Ali Abd al-Raziq didalam bukunya berjudul al-Islām wa Uṣūl al-Ḥukm pada tahun 1925, menegaskan bahawa tiada hubungan antara Islam dengan politik, kerana itu agama dan negara patut dipisahkan. Hujah-hujah beliau antaranya Rasulullah adalah pemimpin spiritual semata-mata di mana Baginda tidak mendirikan negara bahkan Islam tidak membentuk sistem politik tertentu, oleh kerana itu sistem apapun boleh diterima termasuklah sistem komunis manakala Khilafah hanyalah sistem pemerintahan sivil seperti biasa, tiada unsur keagamaan. Sistem khilafah menimbulkan banyak masalah dan menjadi punca kezaliman dan kemunduran umat Islam.

Seorang tokoh pemikir Islam Muhammad ‘Imarah menolak pandangan ini dan mengatakan ia adalah suatu hal yang tidak pernah dikatakan oleh seorang sarjana Muslim sepanjang sejarah Islam. Pandangan ini didorong oleh fikiran yang keliru dan ilmu yang cetek tentang Islam, kerana beliau tidak dapat melihat perbezaan antara Islam dan Kristian dalam melihat hubungan antara agama dan negara.

Justeru itu Imarah menegaskan: “Islamisasi politik dan negara serta tamadun pada umumnya secara pemikiran dan keilmuan bukan hanya suatu pilihan manusiawi bahkan lebih dari itu ia adalah suatu perintah Tuhan, tugas Ilahi, dan kewajipan agama tidak sah keimanan seseorang yang mengingkarinya…kerana pengurusan tamadun duniawi inilah yang akan menterjemahkan pembalasan di akhirat kelak”.

Terlebih awal daripada itu Hujjatul Islam Imam al-Ghazali menegaskan: “Sesungguhnya kerajaan itu penting bagi pengurusan dunia, dan keteraturan dunia penting bagi keteraturan agama, dan keteraturan agama adalah bagi kemenangan dengan kebahagiaan di akhirat”.

Ini menunjukkan bahawa Islam tidak pernah memisahkan antara agama dengan dunia, atau dunia dengan akhirat. Justeru adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memastikan pengurusan dunia yang baik, dan hanya apabila pemerintahan yang baik dapat dilaksanakan maka kesejahteraan manusia di dunia dan di akhirat terjamin.

Imam al-Ghazali juga menegaskan bahawa ”negara dan agama adalah saudara kembar, agama adalah asas sedangkan kuasa adalah penjaga, sesuatu yang tidak memiliki asas akan hancur dan sesuatu yang tidak memiliki penjaga akan hilang.

Dalam tradisi pemerintahan Kerajaan Melayu, ulama dijadikan penasihat penting untuk memastikan pemerintahan tidak terkeluar dari landasan syarak. Raja Ali Haji telah menulis karya-karya naṣīḥat al-mulūk untuk menjadi panduan yang berguna kepada mereka dalam memimpin negara dan mengurus rakyat.

Islam memerlukan sebuah negara agar dapat dilaksanakan segala peraturannya termasuk bernegara, berekonomi, berbudaya dan segala aktiviti hidup. Rasulullah SAW membuktikannya dengan penubuhan Negara Islam Madinah.

Kita sebagai umat Islam di negara ini sangat bertuah kerana diberi “modal asas” oleh Allah untuk membuktikan kesungguhan kita berusaha mendaulatkan Islam dalam kehidupan apabila termaktub di dalam perlembagaan negara Islam adalah agama persekutuan.

Sepatutnya ia sebagai landasan kukuh untuk melebar luaskan cara hidup Islam sebagai rahmat kepada alam (rahmatan lil alamin) termasuk kepada orang bukan Islam di negara ini kerana tiada satu bukti pun penindasan kepada bukan Islam apabila mereka hidup di bawah sistem Islam.

Kalaupun berlaku kelemahan di dalam melaksanakan peraturan-peraturan berkaitan umat Islam di negara ini tidaklah ia mewakili bahawa seluruh sistem Islam itu tidak diperlukan di negara ini ataupun mahupun ia perlu dihapuskan. Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Ustaz Zamri Hashim
Yang Dipertua Isma Cawangan Ipoh

Comments