Home Tempatan INTUISI ATAU GERAK HATI

INTUISI ATAU GERAK HATI

SHARE
Gambar diambil dari truskemata.blogspot

“Reset minda” ialah sains kehidupan yang mengikut sunatullah, yakni undang-undang alam yang telah ditentukan Allah. Maka itu, kita dikehendaki mengenali diri kita sendiri terlebih dahulu. Jika kita seorang yang sentiasa “menjaga hubungan kita dengan-Nya”, maka Allah juga akan menjaga hubungan kita sesama manusia. Jika kita seorang hamba yang sentiasa dekat dengan-Nya, Allah akan dekat dengan kita. Mengadulah kepada Allah bukan kepada manusia. Jika kita dekat dengan-Nya, Allah akan dekat dengan kita. Sentiasalah berzikir dengan ikhlas kerana Allah.

Sesungguhnya, amalan yang sentiasa mendahulukan Allah dan Allah sentiasa di hati, akan mendorong intuisi atau gerak hati menjadi positif. Setiap orang dilahirkan dengan daya intuisi. Tahap “intuisi terbawah” adalah yang dimaksudkan sebagai instinct, yakni gerak hati atau cara seseorang itu bertindak tanpa panduan, tanpa tahu sebabnya, tanpa maklumat, tanpa fakta atau pengalaman lalu.

Tindakan atau keputusan yang mengikut “gerak hati” biasanya dilakukan secara spontan, jarang-jarang kita melakukannya setelah berfikir dua kali, tetapi hanya berbekalkan keyakinan bahawa tindakan itu ialah keputusan yang tepat dan sesuai pada keadaan dan masa itu. Hatilah raja kita. Dari hati lahirnya nafsu atau keinginan positif atau negatif.

Jangan jadikan nafsu negatif “raja” dalam kehidupan kita, hingga kita menjadi seorang yang keras hati, payah memaafkan orang, mudah marah, mudah merajuk dan berkecil hati, mudah kecewa, yang semuanya memusnahkan kehidupan kita, membuatkan kita tidak tenang dan tidak bahagia.

Jom audit diri, andainya apabila bangun pagi, kita berasa hati kita berserabut dan tidak tenang, bermakna kita ada “penyakit hati”, banyak membuat kesilapan pada hari semalam. Pertama, kita banyak dosa. Kedua, kita tidak memaafkan orang. Ketiga, kita sangat ego. Jom bersihkan hati, supaya tenang dan bahagia hidup tanpa prasangka. Untuk membersihkan hati, kalau kita terpaksa menangis, menangislah, tiada salahnya.

Menangis merupakan satu terapi yang bagus. Ia merupakan satu proses kehidupan. Apabila kita bersedih menangislah, jangan dipendam kesedihan itu. Menangis kerana rasa simpati dan empati dengan kedukaan orang lain juga sesuatu yang positif, tanda hati kita lembut dan penuh kasih sayang.

Namun begitu, menangis mesti pada perkara yang betul, contohnya menangis kerana mengenang dosa yang dilakukan, takut kepada api neraka dan mengingati hari akhirat adalah perbuatan yang positif.

Penekanan

Daya intuisi setiap individu berbeza dan mempunyai nilai yang tersendiri. Menurut kajian, biasanya kaum wanita mempunyai daya intuisi yang lebih tinggi berbanding lelaki. Maka itu kita sering mendengar perkataan seperti “gerak hati wanita” dan “gerak hati keibuan” atau disebut pure intuition atau intuisi sejati dan teratas.

Dengan intuisi positif, apabila membuat sesuatu pilihan akan menjadi satu keputusan yang paling tepat, betul dan berkesan, dengan izin Allah. Oleh sebab itu dalam “reset minda” disarankan dalam kehidupan ini jaga perkataan yang lahir dari mulut kita dan perkataan yang berbisik di hati kita. Didik diri kita supaya bercakap yang baik-baik, waima kata-kata yang berbisik di hati juga biarlah yang positif sahaja.

“Reset minda” memberikan penekanan betapa pentingnya kita mengawal hati dan jiwa. Hal ini adalah kerana hati melibatkan roh yang memberikan kesan kepada jiwa kita, yakni minda bawah sedar/minda segar. Daripada segi saintifik, hati kita yang menentukan tindakan dan mengawal keputusan hasil kehidupan, kerana hati akan memberikan emosi sama ada meniupkan semangat atau memadamkan semangat.

Seterusnya, jaga minda kita, jangan izinkan walau sedetik pun fikiran negatif berada dalam fikiran kita. Jika fikiran negatif itu datang walau sekilas cuma, cepat-cepat cantas dan pintaskan dengan fikiran negatif. Fokus hanya kepada perkara yang positif, dan padam semua gambaran, perasaan dan fikiran negatif, yang berada dalam minda atau hati. Berhati-hati dengan jangkaan minda.

Jangkakan perkara yang baik-baik sahaja dalam fikiran kita. Ber­fikir ialah satu fitrah selagi kita hidup dan bernafas, maka berfikirlah dengan bijak dalam membuat pilihan kehidupan. Segala yang difikirkan oleh minda, akan menentukan pilihan dan keputusan kehidupan kita; sama ada memenuh atau menyempitkan rezeki pada masa hadapan.

Jangkaan minda yang tepat adalah jangkaan yang ditapis oleh gerak hati yang positif atau yang dikatakan berfikir dan melihat menggunakan mata hati. Bagi orang yang mengamalkan hidupnya dengan hati yang sentiasa berzikir kepada Allah, hatinya akan suci dan bersih. Setiap perbuatan kita yang dimulakan dengan membaca bismillah, dan setiap langkah pula dimulakan dengan kalimah Allah yang bermaksud, “dengan nama Allah aku berserah dan bertawakal kepada-Mu”, maka apa-apa yang kita buat Allah berserta kita.

Hati yang sentiasa mengingati Allah akan mendorong intuisi atau gerak hati yang positif atas reda, perlindungan dan petunjuk Allah. Sesungguhnya, amalan yang sentiasa mendahulukan Allah dan sentiasa di hati, akan mendorong intuisi atau gerak hati menjadi positif. Dengan menggunakan intuisi positif, apabila membuat sesuatu pilihan akan menjadi satu keputusan yang paling tepat, betul dan berkesan, dengan izin Allah.

Sebab intuisi atau gerak hati kita mengikut aturan dan ketentuan Allah sebagaimana yang kita mohon kepada-Nya. Kalau hati kita bersangka baik dan memohon yang baik daripada Allah, maka kebaikanlah yang menanti di hadapannya, dan sebaliknya.

Intuisi daripada perkataan Latin intueri yang bermakna “melihat dari dalam”. Intuisi adalah satu cara untuk mengetahui, merasakan kebenaran tanpa penjelasan yang kukuh (kita mengetahui sesuatu tetapi kita tidak tahu bagaimana kita mengetahuinya atau dengar kata hati). Mengikut ahli psikologi, gaya pemikiran ini digunakan dalam keadaan tertentu antaranya pertama, apabila dalam situasi tiada maklumat atau pengalaman atau pemerhatian, lalu menjadi asas untuk membuat keputusan.

Kedua, apabila terdapat banyak maklumat yang boleh ditapis dan difikirkan, tetapi maklumat itu tidak relevan dengan keputusan yang bakal diterima. Ketiga, apabila lebih daripada satu keputusan boleh diambil dan setiap keputusan itu sama-sama baik atau sama-sama buruk. Keempat, apabila kita pasti terdapat maklumat mengenai sesuatu perkara tetapi tiada kesempatan untuk berfikir panjang dan tiada kesempatan mencari maklumat tersebut, terutama apabila keadaan mendesak untuk membuat keputusan.

Mata hati yang tertutup akan melupakan akhirat. Orang yang mata hatinya sentiasa berzikir, bagaikan pernafasan yang tidak terhenti kecuali mati, adalah orang yang mencari hidayah Allah. Jom didik hati agar merasa Allah segala-galanya, dan semua makhluk nampak tiada apa-apa kelebihan dan hentikan memuja makhluk.

Ingatlah semua kehidupan negatif kita berpunca dari hati yang kotor. Bersihkan hati, maka bersihlah kehidupan. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

utusan online

Comments