Home Kolumnis Intifadah Bergema Kembali

Intifadah Bergema Kembali

SHARE

Kenyataan Presiden Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel benar-benar mengundang api kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Rancangan keji dan licik orang Yahudi untuk merampas kota suci umat Islam ini bukanlah perkara baru, malah telah berlansung sejak berdekad-dekad lamanya. Masa depan rakyat Palestin kian kabur.

Tindakan Trump hasil daripada tekanan Israel ini telah menggagalkan hasrat Palestin untuk mengakhiri konflik Israel-Palestin yang selama ini ditindas oleh rejim Zionis.

Mungkinkah pengisytiharan haram ini akan memperdengarkan semboyan Intifadah buat kali yang ke-3? Merujuk kepada konflik Israel-Palestin, intifadah bermaksud suatu gerakan penentangan atau bangkitnya satu gerakan atas dasar marah dan pemberontakan terhadap penindasan Zionis.

Intifadah meletus buat pertama kali pada tahun 1987 melibatkan rakyat Palestin di Baitulmuqaddis, Gaza dan semua bandar di Tebing Barat. Ramai yang berpendapat intifadah berpunca dari peristiwa kemalangan yang dirancang terhadap pekerja Palestin yang pulang dari Israel ke Gaza dan menyebabkan 4 orang dari kem Jabalya telah terbunuh.

Terdapat beberapa maklumat menyatakan bahawa pelanggaran yang berlaku ini bukanlah satu kemalangan secara kebetulan, tetapi merupakan satu proses balas dendam terhadap seorang usahawan Israel yang telah terbunuh dua hari sebelumnya.

Namun, secara umumnya penindasan yang berlaku sejak sekian lama di atas tanah mereka sendiri menjadi punca utama kebangkitan rakyat Palestin. Intifadah pertama ini memperlihatkan penglibatan rakyat Palestin dari segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan anak muda yang bangkit menentang kekejaman rejim Zionis. Sememangnya, kekejaman mereka ke atas rakyat Palestin tanpa mengira umur dan langsung tiada peri kemanusian. Ramai mangsa yang terdiri dari kanak-kanak dan golongan muda telah ditembak dan terkorban. Semangat mereka dalam menentang kekejaman Israel sangat luar biasa walaupun mereka hanya menggunakan batu sebagai senjata.

Deklarasi Balfour, 1917 merupakan dokumen yang telah mengiktiraf pembinaan negara haram Israel di atas tanah Palestin. Deklarasi ini telah menyebabkan pengusiran kira-kira 800,000 rakyat Palestin dari rumah dan tanah mereka. Manakala, kemasukan beramai-ramai kaum Yahudi dari seluruh dunia ke Palestin telah membawa kepada detik hitam peristiwa An-Nakbah, 1948 yang menyaksikan beratus ribu rakyat Palestin dibunuh.

Kedatangan mereka yang tidak diundang telah memerangkap rakyat Palestin ke dalam episod hitam yang berpanjangan melalui beberapa peristiwa lain seperti Perang Enam Hari 1967, Pembunuhan Beramai-ramai Qibya, Peristiwa Sabra dan Shatila dan penutupan Masjid Al-Aqsa.

Intifadah ke-2 rakyat Palestin berlaku pada tahun 2000 selepas kesucian Masjid al-Aqsa dicemari dengan lawatan oleh Perdana Menteri Israel iaitu Ariel Sharon pada 28 September diiringi oleh 1000 tentera Israel. Ketika itu, beliau mengeluarkan kenyataan bahawa tanah Palestin itu akan tetap menjadi kawasan milik Israel. Kata-kata itu telah membangkitkan kemarahan rakyat Palestin, dan berlakulah pertempuran sengit di antara warga Palestin dan tentera- tentera Israel.

Laporan menunjukkan pertempuran intifadah ke-2 ini telah menyebabkan 4 ribu kematian dan menyebabkan ramai pemimpin baris hadapan Palestin terkorban dalam usaha melemahkan pihak lawan. Walaupun peralatan yang digunakan oleh rakyat Palestin dalam intifadah ke-2 lebih canggih namun, ia masih belum berjaya melemahkan tentera Israel yang mempunyai senjata yang jauh lebih hebat.

Sehingga ke hari ini, rakyat Palestin ibarat pendatang di tanah air sendiri. Pihak Israel semakin giat mengukuhkan kedudukan di atas tanah yang bukan milik mereka dengan membina lebih banyak penempatan haram untuk orang-orang Yahudi. Dalam perancangan untuk menguasai bumi anbiya’ ini secara total, Israel telah berjaya melobi negara sekutunya, Amerika Syarikat untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya sekalipun ia melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Terbaru, dengan nada angkuh, Presiden Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa Baitulmuqaddis akan sentiasa menjadi ibu kota Israel dan tidak pernah menjadi ibu negara kepada negara lain. Katanya lagi, rakyat Palestin perlu sedar dan menerima kenyataan tersebut.

Hakikatnya, dari awal lagi rejim Zionis Israel tidak dapat menerima kenyataan bahawa kota suci itu bukan milik mereka. Malah, mereka tetap menggunakan kekerasan dan kekejaman untuk merebutnya dari rakyat Palestin. Namun, sejarah membuktikan bahawa Baitulmuqaddis sentiasa akan dipertahankan sebagai hak wakaf umat Islam. Dan sesungguhnya penguasaan Israel ke atas kota Al-Quds itu tidak akan sesekali diiktiraf oleh umat Islam sedunia.

Comments