Home Tempatan Institusi raja berhak buat teguran

Institusi raja berhak buat teguran

SHARE

KUANTAN 22 Feb. – Institusi raja berhak memberi pandangan, menasihat dan menegur isu-isu berkaitan kepentingan rakyat sekiranya falsafah serta identiti negara tergelincir dari landasan yang betul.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, tiada yang lebih patriotik bagi seorang raja berpelembagaan untuk menegur dan meng­utarakan pendapat jika perkara itu berlaku sehingga menggugat kesejahteraan rakyat.

“Dalam konteks ini, adalah ber­tepatan dengan sistem raja ber­perlembagaan berperanan se­­ba­gai mekanisme penyatuan kepelbagaian budaya, agama dan penangkis ancaman kemakmuran serta keamanan negara.

“Keunikan negara kita turut menzahirkan keperluan ins­titusi berkecuali yang tinggi kedudukannya untuk menegur, menasihat dan memberi buah pandangan. Jika tiada institusi ini maka kesetiaan, kesepaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat akan terhakis,” titah ba­ginda ketika merasmikan Wacana Diraja: Raja, Perlembagaan dan Patrio­tisme di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah.

Wacana anjuran Mubarak itu dihadiri kira-kira 600 peserta termasuk pemimpin setempat dan mahasiswa yang dimulakan dengan solat subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad Satu di sini yang turut disertai baginda.

Tengku Abdullah bertitah, peranan raja berperlembagaan untuk menzahirkan pendapat atau membuat teguran dalam isu berkepentingan kepada rakyat dan negara turut dijelaskan oleh Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya, Prof. Dr. Shad Sa­leem Faruqi.

Titah baginda, penjelasan itu menyatakan raja turut berperanan menggunakan kewibawaan untuk menegur, menasihat dan mencari jalan penyelesaian apabila keharmonian, perpaduan serta kesejahteraan rakyat tergugat.

“Peranan ini menjadi begitu penting selepas Pilihan Raya Umum 2008 apabila krisis perlembagaan berhubung pelantikan Menteri Besar di Perlis, Perak, Selangor dan Terengganu berjaya diselesaikan menerusi kewibawaan serta kebijaksanaan raja pemerintah,” titah baginda.

Baginda memperincikan ba­hawa kewibawaan raja berper­lembagaan menegur dan memberi pandangan menepati ci­ri-ciri konsep ‘patriotisme konstruktif’ dipelopori Robert Schatz serta Ervin Staub dalam buku mereka berjudul Manifestations Of Blind And Constructive Patriotism.

Pemangku Raja Pahang turut berpandangan bahawa peranan institusi raja sebagai simbol perpaduan masih kekal relevan di Malaysia yang memiliki kepelbagaian demografi politik, sosial, agama dan ekonomi.

Sementara itu, baginda menolak tanggapan yang menggambarkan raja-raja Melayu sebagai tidak patriotik dan melanggar konsep kesetiaan antara raja de­ngan rakyat selepas kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu sekitar abad ke-19 dan menyerahkan kedaulatan negeri Melayu.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

UTUSAN ONLINE

Comments