Home Tempatan Institusi diraja sandaran Melayu kembali gemilang

Institusi diraja sandaran Melayu kembali gemilang

SHARE

IPOH 7 Feb. – Raja-Raja Melayu menjadi sandaran dan harapan bagi orang Melayu mengembalikan kegemilangan bangsa yang berdepan serangan pemikiran sehingga menyebabkan mereka hilang jati diri.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, orang Melayu kini menghadapi cabaran dan situasi yang jauh lebih getir berbanding ketika era penjajah­an.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan orang Melayu hilang jati diri begitu juga hilang rasa senasib, sepenanggungan, seaib dan semalu, namun sebaliknya, sibuk mencari kesalahan dan menjatuhkan satu sama lain.

Beliau menambah, keutuhan orang Melayu kini umpama retak mulai menjadi belah dan yang sumbing mulai pecah.

“Ini menyebabkan bahasa Melayu yang pernah digemilangkan sebagai bahasa ilmu disisihkan, kini hanya menjadi bahasa ungkapan, malah dirosak­kan dengan sangat biadab sebagai bahasa murahan.

“Jika dahulu kita mempunyai empat juta hektar tanah rizab Melayu, kini jumlahnya semakin tidak bertambah bahkan berkurangan dan khazanah serta tradisi Melayu dan Islam yang menjadi jati diri, namun warisan itu terhakis dan hanya layak menjadi bahan eksotik untuk tontonan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan ‘Mengakar Kuat Umat Melayu Menjulang Tinggi Islam’ di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut Harussani, lebih membimbangkan, sesiapa sahaja termasuk orang bukan Islam mula berani mencabar kedudukan undang-undang Islam dalam perundangan negara.

Malah kata beliau, institusi Islam dicabar dan kewibawaannya dipersoalkan serta kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan disempitkan.

Katanya, pada masa dahulu, orang Melayu semuanya dibela tanpa pilih kasih kerana agenda penting adalah memastikan mereka sebagai bangsa teras tidak tersisih daripada arus pembangunan.

“Kini, ternyata polisi pilih bulu yang mengayakan kaum ke­rabat serta mereka yang se­tia menyokong akan menjadi keuta­maan,” katanya.

utusan online

Comments