Home Tempatan Institusi diraja harus berkecuali, titah pemangku Raja Kelantan

Institusi diraja harus berkecuali, titah pemangku Raja Kelantan

SHARE

Pemangku Raja Kelantan, Tuanku Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra melahirkan rasa dukacita dengan semangat perpaduan yang semakin luntur dalam kalangan masyarakat Malaysia ketika ini.

Titah baginda, negara kini menghadapi pelbagai ujian berbentuk krisis persepsi akibat daripada perbezaan politik dan sosial yang semakin memisahkan warganegaranya.

“Sentimen dan emosi semakin menguasai pemikiran warga, manakala sejarah dan fakta semakin kehilangan kekuatan.

“Kesanggupan berunding, semangat persefahaman dan kesediaan untuk saling hormat-menghormati bagai telah luntur dari kamus kehidupan,” titah baginda ketika berucap mencemar duli di program INTAN Royal Talk 2017 di Bukit Kiara, hari ini.

Ujar baginda, dalam keadaan iklim politik yang semakin dinamik dan percaturan siasah yang sedang berlaku, peranan dan legasi institusi beraja yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman perlu dipertahankan.

“Dengan itu institusi raja pada setiap ketika tidaklah boleh bersifat partisan.

“Dengan berkecuali dalam keadaan berlakunya krisis, institusi raja berupaya memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak,” titah baginda.

Terdahulu, baginda berbesar hati mencemar duli berkongsi titah baginda yang bertajuk “Simbiosis Raja dan Rakyat”.

Program INTAN Royal Talk 2017 merupakan Program Bitara Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang merupakan program kemuncak kepada pelaksanaan program-program Bitara yang telah dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Ia merupakan platform kepada tetamu jemputan Diraja untuk berkongsi pengalaman, ilmu dan nasihat bagi mengukuhkan kualiti perkhidmatan awam serta peranan Institusi Diraja dalam perlembagaan dan penghayatan prinsip Rukun Negara.

Comments