Home Tempatan Ini bukan cakap kosong: Hadi

Ini bukan cakap kosong: Hadi

SHARE

KUALA LUMPUR – “Ini bukan cakap kosong, tapi ini perintah al-Quran,” demikian kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya di Himpunan 355 Padang Merbok, malam ini.

Menurutnya, taraf mahkamah syariah adalah untuk membolehkan syariat ALLAH boleh dilaksanakan.

“Jadi, untuk boleh dilaksanakannya perlu ada mahkamah yang tinggi tarafnya.

“Di atas kewajipan ini kita tunaikan tanggungjawab kita,” katanya.

Beliau turut menekankan, perkara ini tidak menyentuh hak orang bukan Islam kerana perlembagaan persekutuan mengatakan mahkamah syariah bidang kuasanya terhadap orang Islam sahaja.

Tambahnya, mahkamah syariah tidak boleh menghukum orang bukan Islam.

“Ini bukan cakap kosong, tapi ini perintah al-Quran. Al-Quran menjamin kebebasan beragama. Islam melarang kita memaki orang bukan Islam.

“Oleh kerana itu, kita benarkan orang bukan Islam menyambut perayaan mereka. Tidak ada sebab orang bukan Islam menentang RUU, tak ada sebab mereka membantah perkara berkaitan umat Islam,” katanya.

Jelasnya lagi, umat Islam perlu istiqamah dan orang bukan Islam juga perlu hormati perpaduan ini. Sudah tiba masanya untuk kita muhasabah, katanya.

“Saya harapkan usaha RUU355 ini dapat dipanjangkan agar kejayaan ini dapat dicapai dan dilihat oleh rakyat betapa hikmahnya undang-undang ini sama ada terhadap Islam atau bukan Islam,” katanya.

Pada 24 November lepas, Abdul Hadi membawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat untuk memperkasakan mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

RUU itu bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang turut dikenali Akta 355.

Comments