Home Antarabangsa Indonesia kekang kumpulan radikal Islam di sebalik protes gabenor

Indonesia kekang kumpulan radikal Islam di sebalik protes gabenor

SHARE

JAKARTA: Indonesia berusaha mengekang kumpulan konservatif Islam yang menganjurkan bantahan terhadap gabenor Jakarta beragama Kristian, tetapi pakar memberi amaran lebih sukar untuk kerajaan memusnahkan rangkaian yang ada hubungan rapat dengan pertubuhan itu.

Barisan Pertahanan Islam (FPI) sejak kebelakangan ini menjadi wajah konservatif Islam di negara paling ramai umat Islam di dunia itu yang semakin berpengaruh walaupun menjadi pertubuhan ditolak ramai kerana pandangan melampaunya.

Kumpulan itu menyerbu bar yang menjual alkohol ketika Ramadan, memaksa konsert Lady Gaga, yang diberi gelaran ‘pesuruh syaitan’ dibatalkan, dengan membuat bising dan mengetuai demonstrasi terhadap pertandingan Ratu Dunia apabila ia diadakan di Indonesia.

Diketuai Rizieq Shihad, FPI membantu menganjurkan perhimpunan baru-baru ini, yang menarik penyertaan penduduk Islam konservatif dan sederhana, menentang gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, daripada etnik Cina Kristian, yang dibicarakan kerana dakwaan menghina Islam.

Bantahan terhadap Purnama yang dituduh menghina al-Quran ketika berkempen untuk pemilihan semula pada pilihan raya lewat bulan ini, mendorong puak konservatif daripada menjadi kumpulan terpinggir kepada tumpuan politik, menaikkan kebimbangan pemerhati dan sebahagian tokoh dalam kerajaan.

Kini pihak berkuasa berusaha mengekang radikal, dengan polis meningkatkan siasatan ke atas Shihab dalam langkah yang dilihat disokong Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dan pentadbirannya.

“Ia tidak pernah berlaku, ini kali pertama presiden dan kerajaan mencabar kumpulan Islam secara terbuka,” kata penganalisis kumpulan pemikir Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa (CSIS), Tobias Basuki.

Minggu lalu, polis menamakan seorang ulama sebagai suspek kerana didakwa memfitnah pengasas republik itu, Sukarno, dan ideologi Indonesia dalam ucapan beberapa tahun lalu, bermakna pihak berkuasa percaya ada bukti mencukupi untuk membicarakannya. – AFP

Berita Harian

Comments