Home Tempatan IMAMS akses rasmi mohon visa umrah

IMAMS akses rasmi mohon visa umrah

SHARE

PUTRAJAYA: Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (IMAMS) akan menjadi satu-satunya akses rasmi kepada permohonan visa umrah di Malaysia berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sistem itu mendapat persetujuan dan sokongan pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Justeru, permohonan visa itu akan diproses oleh Konsul Besar Arab Saudi di Malaysia.

Katanya, pelaksanaan sistem IMAMS ini membabitkan caj pada kadar RM45 bagi setiap jemaah dan ia adalah kadar paling rendah di dunia berbanding negara lain yang mengguna pakai sistem seumpamanya.

“IMAMS juga sesuai dengan sistem milik Kerajaan Arab Saudi yang membolehkannya dihubungkan terus dengan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi bagi permohonan visa umrah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pelaksanaan IMAMS bagi Pengurusan Kawal Selia Umrah di Putrajaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Nor Yahati Awang; Konsular Kedutaan Arab Saudi di Malaysia Fawwaz Tanaf Al-Otaibi; Setiausaha Pertama Kedutaan Arab Saudi di Malaysia Ali Ibrahim Alheji dan Konsular Komersial Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Khalid S Halawani.

Mas Ermieyati berkata, sistem itu akan memastikan setiap jemaah umrah turut dilindungi insurans takaful umrah dengan perlindungan yang komprehensif selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

“Ketika ini pihak agensi pelancongan menyediakan perlindungan takaful secara berkelompok tetapi dengan perlindungan yang sangat minimum kepada jemaah malah tidak mencukupi untuk menampung kes kecemasan.

“Oleh itu, menerusi sistem IMAMS ini turut menawarkan perlindungan takaful kepada agensi pelancongan bagi jemaah di bawah kendaliannya pada kadar premium yang munasabah iaitu RM40 bagi setiap jemaah,” katanya.

Katanya, kadar terbabit adalah terendah di pasaran bagi skim takaful perjalanan, selain memenuhi kehendak kementerian.

“Mana-mana agensi pelancongan yang tidak menyediakan perlindungan setara atau lebih baik diwajibkan mengambil insurans takaful melalui sistem IMAMS.

“Caj keseluruhan bagi penggunaan sistem IMAMS adalah sebanyak RM90.10 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) RM5.10 dan ia perlu dimasukkan dalam harga pakej umrah sedia ada untuk setiap jemaah,” katanya.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Berita Harian

Comments