Home Tempatan Imam Solat Sunat Tarawih Universiti Oxford Harap JAKIM Terus Perkasakan Program Al-Quran

Imam Solat Sunat Tarawih Universiti Oxford Harap JAKIM Terus Perkasakan Program Al-Quran

SHARE

Ikuti wawancara eksklusif Menara.my bersama Saudara Muhammad Syazani Bin Jemy yang telah mengharumkan nama Malaysia atas kecemerlangan beliau melaksanakan tugas sebagai imam Solat Sunat Tarawih di sepanjang bulan Ramadan dan imam Solat Sunat Aidilfitri pada tahun ini di Universiti Oxford, London. Beliau juga turut menjadi pembimbing Program Qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadan di Masjid Pusat Islam universiti tersebut.

Penghantaran imam Ramadan dan Aidilfitri ini merupakan kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Islamic Center Oxford hasil inisiatif dan persetujuan bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, dan Felo di Oxford Center for Islamic Studies (OCIS), Dato’ Dr Afifi Al Akiti yang juga merupakan Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Negeri Perak. Program ini bermula pada 12 Mei hingga 16 Jun 2018 yang lalu.

Kecemerlangan dan kredibiliti beliau sebagai imam telah mendapat pujian ramai di Oxford sebagaimana dimaklumkan kepada Ketua Pengarah JAKIM oleh Dato’ Dr Afifi yang turut menzahirkan pujian.

WM: Assalamu’alaikum saudara Muhammad Syazani, tahniah diucapkan terlebih dahulu atas pengiktirafan dan usaha mengharumkan nama Negara kita setelah cemerlang sebagai imam Solat Sunat Tarawih di sepanjang bulan Ramadan dan sebagai imam Solat Sunat Aidilfitri pada tahun ini di Universiti Oxford, London. Kami team Menara.my tumpang berbangga. Boleh saudara ceritakan sedikit latar belakang dan pendidikan saudara?

Muhammad Syazani: Wa`alaikummussalam, terima kasih atas penghargaan yang diberikan daripada pihak Menara.my. Latar belakang pendidikan saya bermula di Sekolah Kebangsaan Telok Kemang (2005-2010), kemudian melanjutkan pelajaran ke MRSM Gemencheh sekitar tahun (2011-2015) dan seterusnya ke Maahad Ahmadi Gemencheh pada tahun (2016) dan sekarang masih menuntut di UIAM bermula 2017 di tahun pertama dan semester pertama.

WM: Bolehkah saudara ceritakan antara pencapaian saudara dalam pertandingan-pertandingan hafazan al-Quran di pelbagai peringkat untuk pengetahuan pembaca-pembaca Menara.my?

Muhammad Syazani: Antara pengalaman saya ialah diberi peluang mewakili Malaysia dalam pertandingan hafazan peringkat antarabangsa di Syed Junaid Alam International Holy Quran Award – Bahrain pada November 2017 dengan mendapat tempat ke-3. Kemudian, King Abdul Aziz International Holy Quran Memorisation Competition – Saudi Arabia pada Oktober 2017, Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Antarabangsa kali ke 59 – PWTC, Kuala Lumpur, Malaysia pada Mei 2017 dan mendapat Naib Johan, Tripoli International Holy Quran Award – Tripoli, Lebanon pada Mac 2017, Prince Sultan Competition on the Memorization of Quran and Sunnah for ASEAN and Pacific Countries – Jakarta, Indonesia pada April 2016 di tempat ke-3, Dubai International Holy Quran Award – Dubai, UAE pada Julai 2015, Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Antarabangsa kali ke 57 – PWTC, Kuala Lumpur, Malaysia pada Jun 2015 dan juga Kuwait International Prize of Holy Quran – Kuwait City, Kuwait pada April 2015.

Bagi pengalaman menyertai pertandingan hafazan peringkat kebangsaan pula, saya mendapat Johan Kategori 1-30 Juz dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Kebangsaan (MTHQK) 2017, Johan Kategori 1-30 Juz dalam Majlis Menghafaz al-Quran Kebangsaan (MHQK) 2015 dan Johan Kategori 1-20 Juz dalam Majlis Menghafaz al-Quran Kebangsaan (MHQK) 2015.

Sebelum itu, saya juga berpengalaman menyertai pertandingan hafazan di peringkat negeri iaitu Johan Kategori 1-30 Juz dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Johor 2017, Johan Kategori 1-30 Juz dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Johor 2015, Johan Kategori 1-20 Juz dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sembilan 2014, Naib Johan Kategori 1-10 Juz dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sembilan 2013 dan Tempat ke-4 Kategori 1-10 Juz dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2012.

Selain itu, saya juga berpengalaman dalam menyertai pertandingan-pertandingan terbuka hafazan dan mendapat Johan Kategori 30 Juz Musabaqah IQRA Mahasiswa Se-Malaysia 2018, Johan Kategori 30 Juz Quranic Competition anjuran Yayasan Pendidikan Itqan 2017, Naib Johan Kategori 30 Juz Musabaqah Taj al-Waqar anjuran Saudi Schools of Kuala Lumpur 2016 serta tempat ke-3 Kategori 20 Juz Musabaqah Taj al-Waqar anjuran Saudi Schools of Kuala Lumpur 2014.

WM: Kami difahamkan saudara sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Gombak ketika saudara dihantar ke Universiti Oxford, London sebagai imam bagi Solat Sunat Tarawih dan Solat Sunat Aidilfitri. Boleh saudara ceritakan bagaimana perkara ini terjadi?

Muhammad Syazani: Sebenarnya saya dipilih dan diberi kepercayaan oleh JAKIM.

WM: Apakah kualiti-kualiti yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan tugas sebagai imam Solat Sunat Tarawih dan imam Solat Sunat Aidilfitri di Universiti Oxford, London?

Muhammad Syazani: Kelayakan saya tidak pasti, tetapi kalau secara umumnya untuk menjadi imam Solat Tarawih lebih-lebih lagi kalau ingin membaca satu mushaf, maksud saya membaca secara keseluruhan al-Quran, misalnya ada sesetengah masjid yang buat baca khatam iaitu baca seluruh al-Quran dalam satu Ramadan iaitu satu hari satu juzuk, jadi nak tak nak perkara paling penting adalah hafazan yang mantap, bacaan yang bagus dan keyakinan untuk menjadi atau untuk mengetuai atau untuk memimpin solat sebab ada setengah orang hafazannya mantap dan bacaannya mantap tetapi kadang-kadang bila terlalu gugup menyebabkan bacaannya berterabur. Itu maksud saya secara umumlah untuk jadi imam Tarawih tetapi kalau secara khusus untuk jadi imam Solat Tarawih di Oxford saya kurang pastilah, saya rasa itu rezekilah, Datuk Nordin pilih saya, mungkin juga disebabkan saya ada pengalaman jadi imam Tarawih di Masjid Putrajaya tahun lepas.

WM: Bagaimanakah saudara dapat berhubung dengan Dato’ Dr Afifi Al Akiti, Felo di Oxford Center for Islamic Studies dan juga pihak JAKIM sehingga berhasil menyempurnakan tugas-tugas yang diberikan?

Muhammad Syazani: Alhamdulillah, ketika saya di Oxford saya tidak ada masalah, Dato’ Dr Afifi Al Akiti juga merupakan seorang felo di Oxford. Beliau jugalah yang menerangkan selok-belok di sana selain membawa saya tour melihat keadaan di Oxford dan sebagainya.

WM: Boleh saudara ceritakan sedikit pengalaman saudara mengimami Solat Sunat Tarawih, Solat Sunat Aidilfitri dan menjadi pembimbing Program Qiamullail 10 malam terakhir sepanjang berada di universiti terkemuka tersebut?

Muhammad Syazani: Alhamdulillah, satu pengalaman yang manis, pengalaman yang sangat indah menjadi imam kepada Jemaah yang mempunyai pelbagai budaya, di United Kingdom ini salah satu keunikannya adalah umat Islamnya terdiri daripada pelbagai bangsa dari seluruh dunia jadi ia mempunyai kepelbagaiannya yang sangat-sangat bercampur ataupun kita katakan terdapat kepelbagaian di sana. Alhamdulillah, ini juga kali pertama saya dapat mengkhatamkan al-Quran dalam solat Tarawih, maksudnya dapat baca satu mushaf atau satu al-Quran sepanjang Ramadan ini dan saya rasa ia satu pengalaman yang menarik selain dapat kali pertama berpuasa dengan tempoh yang agak panjang sekitar 18 jam. Seperti umum mengetahui di negara Eropah ketika musim panas mereka mengalami siang yang jauh lebih panjang daripada malam dan alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar dan saya amat rindukan suasana di sana.

WM: Apakah pendapat saudara mengenai program kerjasama dengan JAKIM yang telah saudara sertai ini dan apakah kepentingan program-program seperti ini perlu diteruskan oleh JAKIM dengan pihak-pihak lain?

Muhammad Syazani: Program ini merupakan inisiatif yang sangat-sangat baik daripada JAKIM dan pihak Oxford Center for Islamic Studies dan saya rasa program seperti ini harus diteruskan tahun demi tahun supaya lebih ramai yang dapat manfaat dan dapat mengasah bakat-bakat hafiz di Malaysia yang terpendam, selain dapat jadi lebih berketrampilan dan kehadapan serta mampu membawa diri di mana sahaja walaupun kita di luar tanah air.

WM: Saudara telah banyak mendapat manfaat hasil daripada program-program kendalian JAKIM sehingga berjaya mengasah dan menguji keupayaan saudara dalam bidang hafazan al-Qur’an dan majlis-majlis tilawah di pelbagai peringkat. Apakah harapan saudara terhadap JAKIM?

Muhammad Syazani: Alhamdulillah, ya, memang benar saya telah banyak mendapat manfaat hasil daripada program-program kendalian JAKIM. Sebelum ini saya pernah menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran kategori hafazan sejak dari tahun 2014, 2015 dan 2017. Alhamdulillah program-program seperti ini dapat membantu kami para hafiz secara umumnya untuk lebih bermotivasi dalam menjaga hafazan dan meningkatkan kualiti mutu hafazan dan bacaan. Harapan saya supaya JAKIM dapat memperkasakan lagi program-program seumpama ini dan saya juga berharap program-program seperti ini akan dipandang tinggi oleh masyarakat, akan lebih dekat dihati masyarakat berbanding program-program hiburan yang berleluasa seperti yang kita tengok sekarang ini. Orang lebih cenderung untuk menonton program-program hiburan berbanding program-program yang bersifat ilmiah dan bersifat al-Quranik. Saya juga berharap lebih banyak program-program realiti tv yang berbentuk seperti ini misalnya dahulu kita ada program akademi al-quran dan tilawah, selain itu saya juga berharap satu hari nanti akan ada program untuk hafazan 30 juzuk al-Quran di peringkat realiti tv. Itu harapan saya.

WM: Menara.my memberi peluang kepada saudara untuk memberi sedikit ucapan sebagai penutup kepada wawancara ini?

Muhammad Syazani: Terima kasih sekali lagi kepada Menara.my atas kesudian mewawancara saya. Harapan saya supaya umat Islam perlulah dekatkan diri kepada al-Quran kerana al-Quran adalah pembimbing kita, syafaat kita di akhirat sana dan orang yang berpegang dengan al-Quran dan as- Sunnah tidak akan sesat selamanya. Insya Allah.

Comments