Home Antarabangsa Imam Masjidilharam selar dalang konflik

Imam Masjidilharam selar dalang konflik

SHARE
SHEIKH Saleh Mohammed al-Taleb.

MAKKAH: Imam Masjidilharam menyelar pihak yang mencetuskan konflik dalam kalangan umat Islam ketika menyampaikan khutbah Jumaat, yang terakhir sebelum musim haji bermula.

“Sesiapa yang menyebabkan konflik dan perbalahan dalam kalangan umat Islam tidak mengendahkan keberkatan harmoni, meniru mereka di zaman jahiliah, menjejaskan rakyat dan merosakkan negara,” kata Sheikh Saleh Mohammed al-Taleb, kepada ratusan ribu jemaah yang membanjiri Makkah untuk menunaikan haji minggu depan.

Taleb tidak merujuk secara langsung kepada perpecahan politik dan tentera di negara Arab ,yang sudah mengorbankan ratusan ribu penduduk dan menyebabkan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal.

Arab Saudi, yang menjadi tumpuan jemaah haji seluruh dunia, bersama-sama beberapa kerajaan Arab lain mengenakan sekatan ke atas Qatar dan memutuskan semua hubungan pengangkutan dengan negara itu sejak beberapa bulan lalu.

Ia menuduh Doha menyebelahi Iran dan menyokong keganasan, dakwaan yang disangkal keras Qatar.

Hubungan antara penganut Syiah dan Sunnah berada pada tahap terburuk, dengan saling menuduh pihak lain menjejaskan keselamatan di rantau itu dan menyokong pihak bertelagah dalam konflik di Syria, Iraq dan Yaman. – REUTERS

Berita Harian

Comments