Home Antarabangsa Imam Al-Azhar, gereja Koptik Mesir batal pertemuan dengan naib presiden AS

Imam Al-Azhar, gereja Koptik Mesir batal pertemuan dengan naib presiden AS

SHARE

GLOBAL l Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel terus mendapat bantahan masyarakat antarabangsa.

Kali ini, dua pemimpin agama Mesir – Imam Besar Al-Azhar Al Sharif Mesir, Prof Dr Ahmed Mohamed Al-Tayyeb dan pemimpin Gereja Koptik Pope Tawadros II – membatalkan pertemuan mereka dengan Naib Presiden Mike Pence, susulan perkembangan itu.

Pence dijadual mengadakan lawatan ke Timur Tengah akhir bulan ini.

Menurut Bernama yang memetik Agensi Berita Islam Antarabangsa (Una), Al-Tayyeb pada asalnya setuju dengan permohonan Kedutaan Besar AS di Kaherah untuk mengadakan pertemuan itu.

Beliau bagaimanapun membatalkannya susulan kenyataan Trump untuk mengisytiharkan Baitulmaqdis – kawasan konflik yang menjadi tempat suci bagi agama Islam, Kristian dan Yahudi – sebagai ibu negara Israel.

“Kami tidak boleh duduk semeja dengan mereka yang manipulasi sejarah dan menafikan hak rakyat Palestin.

“Saya langsung tidak berkeinginan bertemu dengan pihak yang menyerahkan sesuatu bukan hak milik mereka dan Amerika harus segera membatalkan pengiktirafan itu dengan segera,” katanya seperti dipetik.

Menurut Al-Jazeera hari ini, Pope Tawadros II membatalkan pertemuan dengan Pence (gambar) selepas pemimpin Palestin mengeluarkan kenyataan beliau tidak dialu-alukan di Palestin.

Dalam satu kenyataan semalam, Gereja Koptik Mesir berkata pihaknya “menarik diri daripada menyambut” Pence apabila beliau dijadual tiba di Kaherah 20 Disember ini.

Pihak gereja berkata keputusn Trump “tidak mengambil kira perasaan jutaan orang Arab”, kata laporan itu lagi.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments