Home Tempatan Ikuti jadual elak sesak ke Pantai Timur

Ikuti jadual elak sesak ke Pantai Timur

SHARE
SEMBILAN belas plaza tol di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan LPT 2 menggunakan sepenuhnya sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) selepas dilancar tengahari hari tadi di Plaza Tol Karak. - Foto Nazirul Roselan

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang ingin ke Pantai Timur sempena cuti Hari Kebangsaan dan Aidiladha, disaran mengatur perjalanan mengikut jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) dikeluarkan ANIH Berhad.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, berkata TTA disediakan pengendali Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) itu bertujuan membantu menyuraikan trafik serta mengurangkan kesesakan di plaza tol, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak.

“Pengguna dari Lembah Klang ke Pahang pada 30 dan 31 Ogos disaran memilih sama ada memasuki KLK dan LPT 1 pada jam 12 tengah hari hingga 3 petang atau antara jam 7 malam hingga 11 malam.

“Pengguna yang ingin ke Terengganu dan Kelantan pada tarikh sama boleh memulakan perjalanan antara jam 6 pagi hingga 11 pagi atau jam 5 petang hingga 8 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nik Fauzi berkata, bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang pada 2 dan 3 September, pengguna dari Pahang disaran memulakan perjalanan antara jam 6 pagi hingga 10 pagi atau antara jam 7 malam hingga 11 malam.

Katanya, pengguna dari Terengganu bagi tarikh sama disaran memasuki lebuh raya antara jam 10 pagi hingga 1 tengah hari atau antara jam 8 malam hingga 10 malam.

Beliau berkata, pengguna dari Kelantan dicadang menggunakan lebuh raya bermula jam 5 petang hingga 9 malam atau antara jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

“Pengguna yang ingin ke Pantai Timur boleh mendapatkan jadual TTA di laman web ANIH Berhad atau mengikuti Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur.

“Pengguna juga dinasihatkan tidak menyalahgunakan lorong kecemasan dan sentiasa mengikuti perkembangan trafik terkini melalui Twitter @LPTTrafik bagi memastikan perjalanan lancar dengan cara yang berhemah,” katanya.

Sementara itu, Nik Fauzi berkata, ANIH Berhad menyumbang lembu untuk ibadat korban di Masjid Kampung Mempatih Lanchang, Temerloh dan di Masjid Jamek, Bandar Karak sempena sambutan Aidiladha.

Berita Harian

Comments