Home Tempatan Iktiraf Baitulmuqaddis Sebagai Ibu Kota Israel Satu Bentuk Pencerobohan – Wisma Putra

Iktiraf Baitulmuqaddis Sebagai Ibu Kota Israel Satu Bentuk Pencerobohan – Wisma Putra

SHARE

Putrajaya: Kementerian Luar Negeri menegaskan bahawa sebarang usaha untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel oleh Amerika Syarikat dan mewujudkan atau memindahkan sebarang misi diplomatik ke kawasan itu sebagai satu bentuk pencerobohan bukan sahaja kepada negara Arab dan umat Islam, tetapi juga merupakan satu pelanggaran hak asasi kaum Muslim dan Kristian.

Menurut satu surat rasmi yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri menekankan, Malaysia berpegang dengan tegas bahawa isu Baitulmuqaddis adalah satu teras kepentingan kepada rakyat Palestin dan meminta semua negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk tidak menyokong sebarang perubahan dalam isu sempadan pra-1967 termasuklah apa-apa yang berkaitan dengan Baitulmuqaddis.

“Keputusan (mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel) akan menyebabkan segala usaha yang dibuat bagi resolusi rakyat Palestin menjadi sia-sia. Ia akan mendatangkan akibat yang teruk bukan sahaja kepada keselamatan dan kestabilan rantau itu, malah akan membakar sentimen dan menyebabkan segala usaha mengekang terrorisme menjadi lebih sukar.”

Oleh yang demikian, Malaysia menggesa Amerika Syarikat untuk mempertimbangkan semula keputusan mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel kerana pengiktirafan tersebut bermaksud satu ekspresi sokongan kepada polisi-polisi Israel dan mencabuli undang-undang rakyat Palestin.

“Perkara ini (menyokong polisi) sekaligus bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, mencabuli resolusi Majlis Keselamatan berkaitan rakyat Palestin dan melanggar hak asasi rakyat Palestin termasuklah hak untuk menentukan nasib sendiri.”

Comments