Home Tempatan IKSIM, Pejuang Kedaulatan Islam Yang Perlu Dipertahankan – Ustaz Hafiz Nordin

IKSIM, Pejuang Kedaulatan Islam Yang Perlu Dipertahankan – Ustaz Hafiz Nordin

SHARE

Tidak wajar menuduh IKSIM yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik sebagai agen kepada kerajaan yang lalu, demikian ujar Ustaz Hafiz Bin Nordin.

“IKSIM berdiri sebagai satu institusi yang mengkaji bagi pihak mana-mana kerajaan yang mempertahankan kedaulatan Islam. Tindakan membekukan dana kepada IKSIM adalah tindakan paling tidak bertamadun sebelum berjaya membuktikan IKSIM adalah agen kepada kerajaan lalu.”

Justeru, beliau melihat tuduhan liar ke atas IKSIM sebagai agen yang membantu kerajaan yang lalu sebagai tuduhan yang bersifat dendam politik semata-mata.

“Agenda IKSIM adalah DAULATKAN ISLAM AGAMA NEGARA (DIAN). DIAN adalah agenda Perlembagaan bukan agenda politik, malah kerajaan PH pun tahu IKSIM mendapat restu Majlis Raja-Raja Melayu.”

Kata Ustaz Hafiz lagi, IKSIM sangat bertegas dalam agenda DIAN sehingga bertegas dalam menegur BN dan parti-parti komponennya dalam isu RUU355 sebelum ini.

“IKSIM berpendirian bahawa pemerkasaan Akta 355 adalah sangat perlu selain melaksanakan titah Al Marhum Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang lalu, ia juga adalah salah satu usaha memartabatkan kedaulatan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.”

Tambahnya lagi, IKSIM juga mendedahkan fahaman liberalisme yang semakin menyesatkan umat Islam sekaligus mendedahkan tokoh-tokoh atau individu yang memperjuangkan agenda sesat itu, termasuklah mereka yang memperjuangkan solat Jumaat pada hari Sabtu yang nyata sesat lagi menyesatkan.

“IKSIM juga mendedahkan agenda evangelis radikal yang bergerak ke arah pemurtadan umat Islam dan negara secara terancang.”

“Semua pendedahan yang dibuat IKSIM sangat sarat dengan fakta dan bukti malah telah banyak laporan polis dibuat untuk membuktikan IKSIM serius dalam perjuangannya bagi mempertahankan kedaulatan Islam.”

Oleh yang demikian, kata Ustaz Hafiz, perjuangan mempertahankan kedaulatan Islam sewajarnya disokong oleh kerajaan yang memerintah kerana itu adalah tanggungjawab sesiapa sahaja yang memerintah negara ini kerana Perlembagaan negara menetapkan Islam adalah agama bagi Persekutuan seperti yang termaktub dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Apa-apa usaha dari dalam atau luar negara untuk menghapuskan kedaulatan Islam hendaklah ditentang habis-habisan dan ditangani oleh kerajaan memerintah.”

“Jangan terlintas untuk mengganggu perjuangan IKSIM lebih-lebih lagi menghapuskannya. Mulakan agenda memperkasakan lagi amar makruf dan nahi mungkar. Hapuskan maksiat dan kemungkaran yang berleluasa yang ditinggalkan kerajaan lalu. Arak dan judi sebagai contohnya. Jaga Islam dari pencerobohan musuh-musuhnya sama ada dari dalam atau luar negara. ALLAH pasti membantu kalian. In sya ALLAH.”

Comments