Home Tempatan IKSIM Bergerak Di Atas Prinsip Kedaulatan Islam Dalam Perlembagaan – CEO IKSIM

IKSIM Bergerak Di Atas Prinsip Kedaulatan Islam Dalam Perlembagaan – CEO IKSIM

SHARE

Berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil pertubuhan tidak berdaftar G25 yang mencadangkan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dikaji semula dan ditutup, pihak menara.my menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM, Dato’ Prof Mahamad Naser bin Disa untuk komen beliau.

“IKSIM selama ini berperanan memberikan penjelasan berkenaan Kedaulatan Islam berteraskan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan. Sudah tentu, kumpulan-kumpulan yang menentang keras prinsip-prinsip yang diperjuangkan IKSIM ini akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan yang bersifat tidak berpuas hati, malah termasuk mengadakan fitnah-fitnah tertentu sebagai alasan kenyataan mereka.”

Menurut Mahamad Naser lagi, sepanjang penubuhan IKSIM, pihak mereka mendapati bahawa rakyat Malaysia secara majoritinya agak keliru tentang kedudukan Islam yang berdaulat di dalam Perlembagaan. Malah, ramai di antara rakyat Malaysia keliru dengan fungsi dan peranan besar Kerajaan Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam pada semua masa.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan ini, kami bergerak bertemu ramai pihak, dari peringkat marhaen ke peringkat bangsawan, dari anak-anak muda sehingga ke peringkat profesor di institusi-institusi pengajian tinggi, menjelaskan tentang kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta peranan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing. 95% daripada mereka yang ditemui, memberikan laporan maklumbalas menyatakan bahawa sebahagian besar pendedahan kajian IKSIM mengenai Kedaulatan Islam ini tidak diketahui umum. Apabila dijelaskan tentang sumpah Yang di-Pertuan Agong di dalam Perkara 37 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang dilafazkan dengan Wallahi… Wabillahi… Watallahi… untuk memelihara agama Islam pada setiap masa, ramai yang berterima kasih dengan fakta yang dikemukakan dan menyatakan mereka baru faham kedudukan dan kepentingan institusi Raja-Raja Melayu dalam memastikan Islam kekal berdaulat di Malaysia ini.”

Beliau menambah, namun begitu bukan semua pihak menyukai kerja-kerja yang dijalankan oleh IKSIM selama ini. Ramai yang menganut pemikiran salah memusuhi IKSIM. Kebanyakan darinya merupakan kumpulan-kumpulan yang bertegas mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular sepenuhnya. Malah, terdapat juga kumpulan-kumpulan yang bercita-cita mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik, menamakan IKSIM dan agensi-agensi Islam yang lain sebagai musuh yang perlu mereka tumbangkan dalam menggapai cita-cita tersebut.

“Saya masih ingat, ketika kami menganjurkan program Syarahan Umum DIAN (SUDI 2017), kami memberi taklimat kepada Shaykh Muhammad Bin Yahya Al-Husayni An-Ninowy tentang sumpah YDPA untuk memelihara Islam pada semua masa. Beliau lantas menyatakan dengan terang dan jelas di dalam syarahan beliau selepas itu, supaya rakyat Malaysia memperkukuhkan dan memantapkan kedaulatan raja-raja dan agama, kerana mereka telah bersumpah “Wallahi, Wabillahi, Watallahi”, dan ini merupakan satu sumpah rabbani menurut pengamatannya.”

“Kami telah melaksanakan kewajipan kami dan kami sangat komited dengan amanah yang telah diberikan kepada kami kerana kami percaya kepada DIAN – Daulatkan Islam Agama Negara!”

Comments