Home Tempatan Ikon Orang Asli Islam cekal berdakwah

Ikon Orang Asli Islam cekal berdakwah

SHARE
Paimuzi (kiri) beramah mesra dengan Ikon Orang Asli selepas majlis Sembang Sarapan bersama Media Aspirasi Hidup Islami Orang Asli di Putrajaya, baru-baru ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Masuk Islam, nanti masuk Gop (Melayu). Masuk Islam nanti kena tukar nama bapa kepada Abdullah. Itulah antara kebimbangan menjadi stigma dalam masyarakat Orang Asli di negara ini untuk memeluk Islam kerana tidak mahu kehilangan jati diri.

Malah, bagi Orang Asli yang sudah kembali kepada agama fitrah yakni Islam, untuk memperbetulkan salah faham terhadap stigma dan meyakinkan keluarga serta masyarakat mereka bukan sesuatu yang mudah.

Hakikat itu diakui masyarakat Orang Asli yang dipilih sebagai Ikon Orang Asli Islam pada majlis Sembang Sarapan bersama Media Aspirasi Hidup Islami Orang Asli anjuran Cawangan Dakwah Khas, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya, baru-baru ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM, Paimuzi Yahya dan Senator Orang Asli, Datuk Isa Ab Hamid.

Pendedahan Ikon Orang Asli yang berjaya dalam kerjaya serta bidang diceburi adalah satu kaedah terbaik membentuk masa depan masyarakat itu, khasnya dalam membantu pemahaman mereka mengenai Islam.

Penolong Pegawai Daerah Cameron Highlands, Adam Zaidi Mahidin, mengakui sukar untuk meyakinkan keluarga dan penduduk kampungnya di Rompin, Pahang, bahawa memeluk Islam bukannya menjadi orang Melayu.

“Masyarakat Orang Asli yang belum Islam bimbang jika mereka memeluk Islam, identiti mereka akan hilang. Mereka khuatir kerana pada fahaman mereka masuk Islam bermakna jadi Melayu dan mereka tidak mahu perkara itu berlaku.

“Saya sendiri setiap kali pulang ke kampung akan mengadakan pelbagai aktiviti terutama program motivasi sambil menyelitkan dakwah. Saya juga masih bergaul seperti biasa dengan jiran yang bukan Islam,” katanya.

Beliau daripada suku Jakun bernasib baik kerana keluarganya tidak menghalang untuk memeluk Islam, namun ibunya, Maznah Aping, 51, menetapkan syarat mahu melihat beliau mengucap syahadah di hadapan saksi di Pejabat Agama Rompin pada 2009.

Berita Harian

Comments