Home Tempatan Ikan makan bangkai babi: MB arah tindakan tegas

Ikan makan bangkai babi: MB arah tindakan tegas

SHARE
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hadir pada Program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Perak Tengah di Masjid Al-Ansar, FELCRA Changkat Lada, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

KAMPUNG GAJAH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mengarahkan jabatan berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan ternakan ikan secara haram di Kampar serta didakwa diberi makan bangkai babi.

Beliau mengarahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyiasat aspek halal dan haram ikan yang diternak di kolam berkenaan berikutan ada dakwaan diberi bangkai babi sebagai makanan.

“Kalau betul seperti apa yang dilaporkan itu, saya mahu jabatan berkaitan menyiasat dan ambil tindakan tegas terhadap pengusaha terbabit termasuk adakah tanah itu diteroka secara haram.

“Kita tidak akan berkompromi dengan pihak terbabit jika benar dia menceroboh tanah dan melakukan perbuatan sebegini (beri bangkai babi sebagai makanan ikan diternak),” katanya kepada wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ansar, FELCRA Changkat Lada, hari ini.

Beliau mengulas laporan BH hari ini mengenai kegiatan ternakan ikan secara haram di sebuah lombong dekat Kuala Dipang yang turut didakwa memberikan bangkai babi sebagai makanan kepada ikan berkenaan.

Terdahulu, Dr Zambry menjamu selera bersama penduduk FELCRA Changkat Lada sempena Program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Perak Tengah yang masuk hari keempat hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta EXCO Kerajaan Negeri.

Berita Harian

Comments