Home Surat iGuru desak LPF, KKMM kaji semula kebenaran tayang Beauty and the Beast

iGuru desak LPF, KKMM kaji semula kebenaran tayang Beauty and the Beast

SHARE

BANGI, 24 Jamadilakhir 1438H, Khamis – Filem animasi Beauty and the Beast yang mencetuskan kontroversi kerana dikatakan mempunyai babak gay adalah bertentangan dengan nilai agama dan budaya Timur.

Sehubungan itu, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), mendesak Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), menilai semula kebenaran penayangan filem terbabit.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, kerajaan sepatutnya melarang penyiaran filem yang mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan mempunyai babak gay itu kerana ia bertentangan dengan nilai agama dan budaya Timur.

“Pendedahan aspek gay mengundang persepsi bahawa ia suatu yang dibenarkan sekali gus membawa implikasi tidak baik kepada moral generasi muda hari ini.

“Adalah lebih baik jika kerajaan bersungguh-sungguh memberikan galakan kepada filem yang membangkitkan semangat patriotisme dan pembinaan nilai dan identiti bangsa.

“Masyarakat perlu menolak agenda liberalisme dan menyokong agenda mengangkat budaya bangsa yang luhur,” katanya kepada Ismaweb.net.

Terdahulu, pengarah Beauty and the Beast, Bill Condon berkata kepada majalah Attitude bahawa watak Le Fou, yang dimainkan oleh Josh Gad, diberi “momen gay yang eksklusif” dalam filem itu.

Susulan itu, filem berkenaan ditangguhkan tayangannya di Malaysia atas beberapa sebab termasuk penampilan watak gay itu.

Pengerusi Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) Tan Sri Abdul Halim Abdul Hamid sebelum ini berkata, terdapat tiga perkara dalam filem itu yang dirasakan LPF tidak sesuai untuk penonton Malaysia.

“Yang pertama adalah lagu dan tempat kejadian di mana Le Fou memeluk satu lagi watak lelaki, Gaston, dari belakang.

“Keduanya adalah lirik lagu tidak senonoh dengan sindiran seksual dan ketiga adalah kejadian yang berlaku pada akhir filem. Kami faham lagu asal (dari animasi 1991) itu tidak mempunyai apa-apa rujukan (gay),” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan kemas kini status di akaun Facebook rasmi rangkaian pawagam GSC, filem itu akan mula ditayangkan di seluruh negara pada 30 Mac.

Comments