Home Tempatan Iftar Gay Penghinaan Kepada Agama Islam – Dato’ Zainul Rijal

Iftar Gay Penghinaan Kepada Agama Islam – Dato’ Zainul Rijal

SHARE

KUALA LUMPUR: Majlis Iftar Gay di kalangan pendukung gerakan LGBT negara ini anjuran Pelangi Campaign yang diketuai oleh Ketua Organisasi DAPSY Subang, Numan Afifi baru-baru ini di pejabat Loyar Burok, Bangsar mendapat kritikan dan kecaman pelbagai pihak.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar berkata, program ini adalah suatu penghinaan kepada agama Islam dan umat Islam khususnya di Malaysia kerana ibadah berbuka puasa itu adalah wajib bagi orang Islam.

“Manakala menjadi seorang yang mengamalkan homoseksual itu adalah suatu perkara yang sangat ditegah oleh agama Islam,” katanya.

Beliau menegaskan perkara itu adalah sangat tidak wajar apabila pihak LGBT yang dilihat secara terang-terangan menentang Islam dengan perbuatan mereka menganjurkan program iftar untuk kaum mereka, hal itu hanya akan mencetuskan ketegangan antara umat Islam dan golongan LGBT ini.

Menurutnya, ia sekaligus menghina agama Islam dan menolak prinsip ajaran Islam yang sebenar disebabkan mereka seolah-olah mahu menunjukkan yang mereka adalah pengamal agama Islam tetapi dalam masa yang sama mengamalkan cara hidup yang jelas ditegah agama dan haram hukumnya.

“Kita lihat analogi dalam undang-undang sivil misalnya seseorang itu merompak dan hasil wang serta barangan rompakan itu diumumkan kepada khalayak kemudian diberikan kepada orang miskin.”

“Adakah perkara itu boleh dilakukan? Sudah tentu tidak. Perbuatan merompak itu tetap salah di sisi undang-undang, sudah tentu juga pihak polis akan mengambil tindakan di atas kesalahan merompak itu,” katanya.

Beliau berkata, samalah halnya dengan analogi golongan gay yang mengamalkan cara hidup homoseksual yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam termasuk mendakwa mereka berpuasa lalu menganjurkan majlis berbuka, tindakan tegas juga perlu diambil kepada mereka.

“Secara terang-terangan mereka menolak ajaran Islam dengan mengaku sebagai gay dan mengamalkan homoseksual kemudian mendakwa berpuasa pula, jenis Islam yang semacam apa yang sedang dianuti mereka ini?”

“Mereka tidak sepatutnya berbangga dengan perbuatan dosa yang dilakukan dan sepatutnya perlu segera bertaubat,” katanya ketika dihubungi Menara.my di sini, semalam.

Beliau berkata, PPMM mendesak pihak berkuasa agama dan pihak berkuasa awam agar segera bertindak menghentikan gerakan kumpulan gay ini yang secara terang-terangan mencabar dan menghina agama Islam.

“Pihak berkuasa digesa untuk tidak membenarkan majlis Iftar Gay yang bakal diadakan pada 17 Jun 2017 ini di Pelita Nasi Kandar, Bangsar,” katanya.

Persoalan mengenai adakah terdapatnya undang-undang untuk menghalang pelaksanan program ini, Dato` Zainul Rijal berkata, bagi orang Islam jika dia melakukan suatu perkara yang bercanggah dengan hukum agama Islam, dia tertakluk di bawah undang-undang enakmen jenayah syariah.

Menurutnya, pihak PPMM juga merayu kepada Sultan Selangor selaku ketua agama supaya mengarahkan pihak berautoriti membuat siasatan terhadap penganjuran program berkenaan dan kita juga merayu kepada semua ketua-ketua agama di seluruh Malaysia menyatakan ketegasan masing-masing bagi membendung perkara ini dari terus berleluasa.

Comments