Home Tempatan ‘IC’ Balik China: Patriotisme Boleh Dipersoal

‘IC’ Balik China: Patriotisme Boleh Dipersoal

SHARE

Kuala Lumpur: Negara China boleh membuat tawaran kepada mereka (orang Cina) yang sudah jadi rakyat Malaysia dan mendapat kerakyatan di sini dan terpulang kepada mereka sama ada mahu menerima atau menolaknya tetapi setakat ini Malaysia tidak pernah mempraktikan dwi-kerakyatan, kata Sejarawan Negara Profesor Emeritus Tan Sri Dato Dr Khoo Kay Kim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut berhubung isu kad pengenalan khas yang dipetik daripada Presiden Persatuan Masyarakat Cina Bersatu Sabah (USCCA) Susan Wong sebagai berkata, kad pengenalan khas itu yang ditawarkan kerajaan China kepada orang Cina luar negara, yang berada di Malaysia hanya untuk orang Cina yang lahir di China tetapi menjadi rakyat Malaysia.

Menurut Dr Khoo Kay Kim, kita tak boleh menghalang China kalau negara itu mahu mengeluarkan kerakyatan kepada orang yang lahir di China.

Bagaimanapun ujar beliau, perkara itu terpulang kepada mereka sama ada mahu menerima tawaran itu atau menolaknya.

“Sama ada mereka mahu menerima atau tidak tawaran itu terpulang kepada mereka (rakyat China),” katanya.

“Tetapi setakat ini Malaysia tidak pernah menerima dwi-kerakyatan dalam masa yang sama dan yang paling penting ialah Malaysia tak pernah mengiktiraf dwi-kerakyatan.”

Namun Tan Sri Khoo Kay Kim turut menegaskan bahawa patriotisme kumpulan itu sudah tentu boleh dipersoalkan termasuk sama ada mereka yang sudah lama duduk di Malaysia juga.

Bagaimanapun, kalau ada rakyat yang mahu berhijrah ke negara lain, bukan hanya China tetapi negara lain, apa gunanya mereka dipaksa tinggal di Malaysia.

Dr Khoo Kay Kim berkata, untuk memahami sikap orang keturunan Cina di negara ini kita perlu kembali ke abad ke-19 dan ini memerlukan esei bukan beberapa ayat sahaja untuk menerangkannya.

Menurutnya, seperkara yang juga menjadi penting adalah sama ada mereka itu nanti boleh menyesuaikan diri dengan keadaan di China atau tidak itu juga menjadi perkara penting.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dato’ Dr Teo Kok Seong berpendapat, Negara China tidak patut meneruskan rancangannya untuk memberi kad pengenalan khas kepada mereka yang dilahirkan di sana, dan kini bermastautin serta sudah menjadi rakyat negara lain.

Menurutnya, hal ini bukan sahaja tidak menghormati kedaulatan negara lain malah ia juga mencampuri hal ehwal negara lain.

Beliau menegaskan, Malaysia sememangnya tidak membenarkan rakyatnya memiliki kerakyatan dari negara lain.

Dato’ Dr Teo Kok Seong berkata, “Rakyat Malaysia yang terbabit tidak patut menerima tawaran ini, untuk memperlihat identiti nasional mereka yang kental, yang hanya terikat dengan Malaysia sepenuhnya sebagai satu-satunya tanah air mereka.”

“Sehubungan ini, negara China sebagai tempat lahir adalah hanya sejarah lampau, yang kini tiada apa-apa yang signifikan lagi setelah diterima menjadi rakyat Malaysia,” ujarnya.

Comments