Home Tempatan I-Sign QurANIS bantu OKU

I-Sign QurANIS bantu OKU

SHARE
Gambar Hiasan

NILAI – Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami masalah pendengaran kini boleh menikmati pembelajaran al-Quran dan solat dalam suasana yang lebih menyeronokkan dan santai.

Jika sebelum ini pembelajaran mereka hanya menggunakan bahasa isyarat sahaja, namun kini ia ditambah nilai oleh sekumpulan penyelidik dan pelajar daripada Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Nilai dekat sini bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran kumpulan itu.

Bagi menarik perhatian dan membantu golongan itu, kumpulan daripada USIM membangunkan I-Sign QurANIS, satu perisian interaktif yang mengandungi asas-asas pembelajaran al-Quran dan ibadah.

Pensyarah Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah, Norakyairee Mohd Raus berkata, objektif utama pembangunan perisian itu yang menelan belanja RM78,000 itu bagi memenuhi keperluan rohani golongan itu berdasarkan kemahiran, kekuatan dan perbezaan pembelajaran mereka.

“Tanggungjawab kita untuk memberi mereka ini asas ilmu berkaitan bagaimana untuk mereka membaca al-Quran dan memudahkan  faham. Produk ini bertujuan untuk mengajar orang pekak membaca al-Quran.

“QurANIS adalah satu kurikulum yang dibangunkan oleh Fakulti Quran dan Sunnah untuk anak-anak OKU pekak untuk mendapat pendidikan yang sama seperti pendidikan di Kafa (Kelas al-Quran dan Fardu Ain) dan sekolah agama rakyat. Produk ini ada beberapa kandungan di dalamnya dan kita ada transliterasi Makhraj (merumikan teks arab) dan terjemahan di bawahnya yang mesra golongan itu,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Norakyairee berkata, I-Sign QurANIS  yang memaparkan dua segmen iaitu mengenai al-Quran dan asas-asas ibadah, dilengkapi dengan transliterasi rumi, bahasa isyarat dan terjemahan al-Quran untuk orang cacat pendengaran, yang dimainkan menerusi audiovisual.

“Orang pekak ini dikatakan bisu sebab biasanya orang pekak ini dia tidak pernah dengar perkataan sejak kecil… jadi tidak boleh nak menyebut atau menuturkan perkataan sebab itulah orang biasa sebut pekak bisu tetapi sebenarnya mereka ini ada kotak suara.

“Kita pergi ke sekolah agama pendidikan khas di Johor Bharu baru-baru ini dan Alhamdulillah bila kita tengok interaksi kanak-kanak apabila dia nampak perisian ini Masha Allah  mereka suka sangat walaupun suara dia tidaklah sempurna sangat tapi dia cuba untuk menuturkannya,” katanya.

Produk I-Sign QurANIS yang dibangunkan Usim berjaya meraih pingat emas dalam Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2017 (ITEX) di Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas, yang disertai lebih 1,000 penyelidik  daripada 22 negara antaranya China, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Iraq dan Vietnam.

Mengulas lanjut mengenai produk itu, Norakyairee berkata produk yang dibangunkan adalah hasil tinjauan ke atas badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Modul ini telah ditunjukkan kepada NGO dan Alhamdulillah apa yang kita buat adalah berdasarkan kepada keperluan mereka dan mereka juga bersama-sama memberi penilaian dan pengesahan bahawa isyarat yang kita tonjolkan dalam perisian itu betul atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Norakyairee berkata, produk yang memakan masa setahun setengah untuk dibangunkan buat masa terdekat ini akan dipasarkan kepada  NGO yang memerlukan.

“Setakat ini di pasaran belum ada lagi produk seperti ini, fokus untuk OKU pekak. Saya menjangkakan harga pasaran bagi produk ini boleh mencecah RM100 untuk satu CD (cakera padat). Kita juga merancang sekiranya ada pihak yang berminat, produk ini boleh dipasarkan di negara lain.

“Kita hanya perlu tukar dari segi terjemahan bahasa dan bahasa isyarat sahaja. Setakat ini kita baru menghubungi pasaran Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya. – Bernama

Sinar Online

 

Comments