Home Antarabangsa Hungary bertindak tegas terhadap NGO terima dana Soros

Hungary bertindak tegas terhadap NGO terima dana Soros

Tolak campur tangan asing dalam kerajaan

SHARE

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Kerajaan Hungary akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kaitan dengan penyangak mata wang berketurunan Yahudi, George Soros.

Memetik laporan Bloomberg (https://www.bloomberg.com) kelmarin, Naib Presiden Parti Fidesz, Szilard Nemeth berkata, langkah itu akan dimulakan sebaik sahaja Donald Trump dilantik secara rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).

Menurut beliau, pentadbiran Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban akan menggunakan segala kaedah yang wajar bagi membanteras semua NGO yang menerima dana daripada Soros. “Tindakan ini disasarkan kepada semua NGO di Hungary yang berkhidmat untuk golongan kapitalis global serta menyokong campur tangan asing dalam pentadbiran kerajaan,” katanya. Bloomberg turut melaporkan, kerajaan Hungary yang diterajui Parti Fidesz merancang memperkenalkan undang-undang baharu bagi membenarkan pihak berkuasa menjalankan audit terhadap pengurusan NGO terbabit.

Sementara itu, The Wall Street Journal (http://www.wsj.com) da­lam laporan semalam menyatakan Soros mengalami kerugian sebanyak AS$1 bilion (RM4.46 bilion) di pasaran saham berikutan kemenangan mengejut Trump pada pilihan raya Presiden AS awal November lalu. The Wall Street Journal berpandangan, Soros telah melakukan kesilapan apabila menjangka kemenangan Trump menyebabkan harga saham di AS merudum. “Sebaliknya, Indeks Industri Dow Jones melonjak sebanyak 9.3 peratus kerana para pelabur menjangka dasar-dasar pentadbiran Trump akan melonjakkan pendapatan korporat dan ekonomi AS secara keseluruhan,” jelas The Wall Street Journal.

Dalam pada itu wartawan Ireland, Bryan MacDonald dalam komentar yang disiarkan Russia Today (https://www.rt.com) pada 7 Januari lalu berpandangan, Soros kini marah setelah komplotnya untuk campur tangan dalam pentadbiran pelbagai negara di Eropah dan Amerika Utara gagal.

Beliau berkata, Soros cuba menutup kelemahannya sendiri dengan menyalahkan pemimpin-pemimpin dunia termasuk Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang kononnya menentang gagasan demokrasi liberal. “Nampaknya Soros tidak dapat menerima kenyataan. Mungkin disebabkan beliau kecewa apabila segala usahanya selama ini tidak menjadi,” katanya.

Utusan Melayu

Comments