Home Tempatan Hukuman penjara terhadap abang pengganas Daesh ditambah

Hukuman penjara terhadap abang pengganas Daesh ditambah

SHARE

PUTRAJAYA 6 Feb. – Abang seorang pengganas Daesh diperintah menjalani hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan mengendalikan harta pengganas selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan pendakwa raya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim memutuskan demikian terhadap Mohamed Danny Mohamed Jedi, 30, yang merupakan abang kepada Muhammad Wanndy, 27.

Muhammad Wanndy disahkan sebagai rakyat tempatan yang berada di Syria dan menyertai kumpulan pengganas Daesh sejak awal 2015 selain menjadi pelopor utama yang merekrut warga Malaysia sebagai ahli kumpulan militan itu di Syria.

Kuorum berkenaan mengetepikan hukuman penjara empat tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi terhadap bekas pekerja kedai serbaneka dari Melaka itu dan menambah hukuman penjara kepada lapan tahun.

Mohamed Danny mengaku bersalah mengendalikan secara tidak langsung harta pengganas yang merupakan adiknya dengan cara membenarkan kemasukan wang sebanyak RM13,130 dan pengeluaran wang sebanyak RM10,000 daripada akaun Maybanknya bagi memberi manfaat kepada pengganas berkenaan di Ayer Keroh, Melaka tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

utusan online

Comments