Home Tempatan Hukuman hina agama: Wajar contohi ketegasan Indonesia

Hukuman hina agama: Wajar contohi ketegasan Indonesia

SHARE

KOTA BHARU: Malaysia wajar mencontohi tindakan Indonesia menjatuhkan hukuman penjara kepada individu atau pihak yang menghina agama terutama Islam.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, keputusan kerajaan Indonesia menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok adalah wajar demi menjaga keamanan dalam beragama.

Katanya, Indonesia dikenali sebagai sebuah negara yang sangat bertoleransi dengan agama walaupun tiada agama rasmi, tapi tetap bertindak tegas apabila ada sesuatu isu membabitkan agama.

“Jadi, kenapa Malaysia lembut sangat? Islam agama rasmi negara… apabila ada individu yang pijak al-Quran dan hina agama, kita cukup dengan minta maaf saja?.

“Saya fikir sudah tiba masanya, pihak berkuasa mengambil tindakan tegas seperti mana Indonesia, bukan saja agama Islam, begitu juga jika agama lain dihina,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Entrepreneur Muda dan Bantuan Peningkatan Pendapatan Petani bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kampung Padang Upih, Ketereh, di sini, hari ini.

Mahkamah Indonesia semalam menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Ahok yang didapati bersalah kerana mengkritik pesaing politiknya yang menggunakan Al-Quran dalam kempen politik.

Mengulas lanjut, Md Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata, tindakan Indonesia menjatuhkan hukuman terhadap Ahok juga menunjukkan tiada kompromi dalam soal menghina agama walaupun dibuat pemimpin negara atau individu berpengaruh.

Katanya, hukuman penjara juga wajar diambil jika ia tindakan terbaik bagi menunjukkan ketegasan kerajaan dalam soal memelihara agama dalam negara.

“Saya minta kerajaan untuk bertegas. Kita kena tunjuk ketegasan memelihara bukan saja agama Islam tetapi agama lain juga supaya tidak ada pihak menghina mana-mana agama dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Berita Harian

Comments