Home Tempatan Hubungan diplomatik Malaysia, Holy See galak pemahaman agama

Hubungan diplomatik Malaysia, Holy See galak pemahaman agama

SHARE
Sumber gambar: SAYS Malaysia

PUTRAJAYA: Hubungan diplomatik yang dibina antara Malaysia dan Holy See adalah lambang komitmen negara untuk mengukuhkan lagi hubungan sedia ada, terutama dalam isu agama, selain menggalakkan pemahaman agama yang lebih baik.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Malaysia percaya amalan kesederhanaan adalah elemen asas untuk memupuk integrasi bagi menjamin kehidupan yang aman melalui penolakan ektremisme yang merosakkan nilai agama sejagat.

Beliau berkata, ia adalah selaras dengan inisiatif Malaysia melalui Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).

“Melalui penubuhan kedutaan yang berpusat di Rom, kita boleh turut serta dan menyumbang kepada dialog di seluruh dunia dalam pelbagai isu serantau dan antarabangsa, terutama mempromosi pemahaman agama, pendidikan, pembasmian kemiskinan, migrasi dan perubahan iklim,” katanya ketika berucap merasmikan Kedutaan Malaysia di Holy See, Rom, hari ini.

Anifah berkata, salah satu cabaran besar dalam dunia hari ini adalah memerangi kumpulan pelampau yang semakin bercambah di peringkat serantau dan antarabangsa, yang menjadi barah sehingga mencetuskan huru-hara serta menggugat kestabilan politik sesebuah negara.

“Saya perlu mengatakan bahawa menghapuskan kebencian dan kemarahan serta emosi yang digunakan kumpulan pelampau untuk kepentingan mereka adalah amat penting demi memastikan keamanan serta keharmonian.

“Justeru, keperluan amalan kesederhanaan adalah lebih relevan dan diperlukan hari ini berbanding sebelum ini,” katanya.

Selain itu katanya, Malaysia juga mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai majlis berkaitan Pope, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan dalam penganjuran dialog serta seminar bagi mempromosi pemahaman agama yang lebih baik pada masa depan.

Berita Harian

Comments