Home Tempatan Hubungan dengan Saudi lonjak ekosistem halal

Hubungan dengan Saudi lonjak ekosistem halal

SHARE

PUTRAJAYA: Malaysia akan memanfaatkan kerjasama erat yang dijalin menerusi lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia baru-baru ini bagi memperluas strategi pembangunan produk dan barangan halal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah dua rakan dagang dalam kalangan negara Asia Barat yang berminat untuk membangunkan ekosistem halal.

“Lawatan rasmi Raja Arab Saudi dapat dimanfaatkan secara optimum berdasarkan kepada strategi pembangunan ekonomi baharu yang tidak lagi hanya tertumpu kepada sektor minyak dan gas semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Malaysia yang pertama di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu antara lain menetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sekretariat tetap kepada Majlis Halal Malaysia.

“Bahagian Hab Halal JAKIM yang berfungsi dalam pelaksanaan pensijilan halal Malaysia akan dimantapkan dengan beberapa agensi lain melalui kaedah strategi lautan biru nasional (NBOS),” katanya.

Selain itu katanya, penyaluran khidmat nasihat dan kepakaran halal Malaysia kepada negara luar bukan sahaja mampu membuka ruang perluasan perniagaan kepada usahawan tempatan.

“Ia juga mampu menjadi medan dakwah dalam mempromosikan amalan kesederhanaan dalam Islam di seluruh pelusuk dunia. Halal Malaysia mampu menjadi medium perjalanan dakwah global,” katanya.

Berita Harian

Comments