Home Tempatan Hotel Halang Muslimah Bertudung Wajar Diboikot – PPIM

Hotel Halang Muslimah Bertudung Wajar Diboikot – PPIM

SHARE

Kuala Lumpur: “Saya cadangkan kita (pengguna) senarai hitamkan nama hotel-hotel yang tidak tahu menghormati umat Islam dan tidak patuh syariah kemudian viralkan (tular) supaya semua saudara Islam tahu dan jangan lagi pergi ke hotel-hotel yang membenci umat Islam di negara ini,” demikian menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Menurutnya, zaman ini pengguna seharusnya bijak membuat pilihan tanpa mengharapkan kerajaan semata-mata.

“Kita menyeru kepada kesepakatan para pengguna Islam untuk melindungi diri mereka daripada dilihat sebagai keadaan dalam diskriminasi,” katanya.

Beliau berkata, “Sudah tiba masanya pengguna menyedari kuasa yang ada pada mereka dan menggunakannya tanpa rasa tertekan bagi menghapuskan diskriminasi ini, sebaliknya biarkan pengusaha pula yang merasa tertekan akibat dari perbuatan mereka itu.”

Datuk Nadzim Johan berkata, Malaysia mengamalkan Perlembagaan yang berpandukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan, jadi sesiapa pun yang tinggal di negara ini mesti mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

“Polisi atau SOP hotel itu soal kedua, yang penting Perlembagaan (Persekutuan) perlu dipatuhi terlebih dahulu,” tegasnya.

Menurutnya, jika dilihat di negara China, Amerika mahupun Iran misalnya, mereka juga mempunyai perlembagaan masing-masing bahkan di mana-mana negara di dunia ini mengikut perlembagaan tertentu yang ditetapkan negara berkenaan.

“Kalau mereka tidak ikut undang-undang yang ditetapkan, pengguna pun janganlah ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’, cari sahajalah hotel yang lain.”

Soal beliau, “Mengapa penguat kuasa tidak boleh bertegas?”

Beliau mengesa, “Pekerja hotel-hotel yang dinafikan hak mereka untuk mengamalkan ajaran Islam di negara ini dengan alasan SOP dan polisi hotel supaya menegakkan pendirian dan tegas selain membuat laporan kepada pihak berkuasa ke atas majikan yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Menurutnya, majlis-majlis bufet kerajaan juga perlu bersepakat untuk memboikot dan tidak mengadakan lagi majlis di hotel-hotel yang tidak tahu menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan.

Comments