Home Tempatan Hindraf terdesak, minta bantuan PBB gesa Malaysia batal PR Zakir Naik

Hindraf terdesak, minta bantuan PBB gesa Malaysia batal PR Zakir Naik

SHARE

KUALA LUMPUR, 3 Syaaban 1438H, Ahad – Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) sekali lagi bertindak melampau apabila menggesa Jawatankuasa Memerangi Keganasan Majlis Keselamatan (CTC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menasihati Malaysia agar membatalkan status Pemastautin Tetap (PR) diberikan kepada Dr Zakir Naik.

Pengerusinya, P Waythamoorthy menulis surat kepada Pengerusi CTC, Amr Abdellatif Aboulatta yang berpejabat di New York mendakwa, gesaan itu dibuat ekoran pelbagai laporan mengaitkan pendakwah kontroversi dari India itu dengan aktiviti keganasan.

“Kami menulis kepada anda dengan harapan anda boleh menangani isu ini dengan membawa kepada perhatian perwakilan Malaysia dalam CTC mengenai kebimbangan akan bahaya (kehadiran Zakir) kepada publik di Malaysia dan kemudaratan jangka panjang secara langsung dan tidak langsung di peringkat domestik dan juga antarabangsa,” kata beliau dalam surat itu, yang salinannya diedarkan kepada media semalam.

Waythamoorthy berkata, Malaysia yang dipercayai salah satu anggota CTC, harus dimaklumkan mengenai bahaya yang dipercayai boleh ditimbulkan Zakir.

Tindakan itu, menurutnya, amat diperlukan memandangkan Zakir enggan pulang ke India bagi menghadapi siasatan dan juga tuduhan di negara itu.

Malah, Hindraf mendakwa, status PR Zakir di Malaysia telah mencetuskan kemarahan orang bukan Islam dan juga sebahagian orang Islam, yang tersinggung dengan ceramah beliau.

“Kami tidak mahu Malaysia digunakan untuk aktiviti pengganas atau sebagai pusat latihan ataupun lokasi persediaan untuk sebarang perbuatan keganasan sama ada di dalam negara atau di peringkat antarabangsa,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, Hindraf, yang sebelum ini bersama beberapa pihak memfailkan kes mahkamah berkaitan kehadiran Zahir di Malaysia, berharap CTC akan memberi nasihat kepada Malaysia menggugurkan status PR yang diberikan kepada Zakir.

 

Comments