Home Tempatan Hindraf Menuntut Perjumpaan Bersama Raja Perlis – Waytha Moorthy Ponnusamy

Hindraf Menuntut Perjumpaan Bersama Raja Perlis – Waytha Moorthy Ponnusamy

SHARE

Kuala Lumpur: Hindraf menuntut perjumpaan bersama Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Menurut satu status Facebook yang telah dimuat naik oleh akaun dengan nama Waytha Moorthy Ponnusamy pada 22 April 2017, Hindraf ingin mengadakan satu perjumpaan dalam masa yang tersingkat bersama Tuanku Raja Perlis demi mengetengahkan rintihan masyarakat bukan Islam di Malaysia, berikutan satu puisi tulisan Mufti Perlis, Dato’ Dr. Mohd Asri.

Menurut Waytha Moorthy, “Hindraf ingin menuntut satu perjumpaan tergempar bersama Sultan Perlis demi mengetengahkan kesedaran berkenaan masyarakat non-Muslim di Malaysia yang marah dengan puisi tulisan Mufti Perlis yang menghina agama Hindu, dan amalan kebudayaan yang tidak ada kena mengena dengan agama dan ditonjolkan sebagai amalan agama dengan cara yang buruk. Permintaan rasmi akan dibuat pada minggu hadapan.”

Menurut Waytha, kebebasan beragama telah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kedua-dua Muslim dan bukan Muslim telah mengamalkan agama masing-masing hampir 60 tahun. Namun, sejak kebelakangan ini, terdapat perkembangan agenda pemikiran Islam radikal yang ditanam pada belia Muslim untuk membenci dan melahirkan perasaan menghina terhadap bukan Islam.

Hindraf telah diisytiharkan sebagai haram pada 15 Oktober 2008 oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu. Jurucakapnya turut menambah seperti berikut, “Menjemput Zakir Naik ke Malaysia telah mengundang satu ketidaksenangan di kalangan ramai warganegara. Jika Zakir Naik boleh mengkorupkan Mufti Perlis sehingga menghasilkan satu puisi yang hina di khalayak ramai, maka, Zakir Naik telah berjaya dalam meradikalkan dan menyeleweng pemikiran “terhormat” seorang mufti”, tegas Waytha.

“Hindraf menuntut satu perjumpaan tergempar bersama DYMM Sultan Perlis untuk memberi taklimat berkenaan bahaya pendakwah kebencian seperti Zakir Naik yang menetap di Malaysia dan dikehendaki di India atas kesalahan berkaitan keganasan dan pembersihan wang haram”, ujarnya lagi.

Comments