Home Tempatan HINDRAF Membisu Isu Dakwaan Ugutan ke atas Pendakwah?

HINDRAF Membisu Isu Dakwaan Ugutan ke atas Pendakwah?

SHARE

KUALA LUMPUR – Berikutan wawancara bersama Presiden Skuad Mubaligh Malaysia, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang mendesak HINDRAF supaya memberi fokus kepada isu orang India, empat protege anak didik Dr Zakir Naik dikatakan menerima ugutan selain dikecam dengan kata-kata yang kurang enak dari seorang lelaki.

Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berkata, dia turut menerima panggilan dari lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Arun Kiri Nathan @ AK Nathan’ yang mengugut dan mengecam dengan kata-kata yang kurang enak. Menurutnya, lelaki yang sama menghubunginya mengeluarkan kata-kata kesat serta bercakap kotor.

Katanya, orang pertama yang menerima panggilan berbaur ugutan ialah saudara Firdaus Wong, kemudian saudara Abu Shariz dan terakhir, saudara Damian Haikal.

“Sebenarnya saya tidak layan pun, disebabkan sikap dan cara dia yang kurang beradab membuat tohmahan dan ugutan secara membuta tuli,” katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, Damian ada membuat rakaman dan mendengar sendiri apa yang dikatakan oleh lelaki berkenaan.

“Damian telah membuat laporan polis, dan saya masih belum membuat laporan polis. Laporan polis dari Zamri akan menyusul selepas merujuk kepada laporan yang dibuat Damian.”

Beliau berkata, di dalam rakaman video suara itu Damian ada bertanya adakah pemanggil anggota Hindraf, namun pemanggil memilih untuk tidak menjawab soalan tersebut.

Kata beliau, tujuan panggilan itu dibuat hanya untuk tujuan provokasi selain untuk menyakitkan hati sahaja sehingga menggelar ke empat-empat mereka termasuk Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.

Pengarah acara ceramah Dr Zakir Naik, Abu Shariz Badr Sarajun Hoda berkata, “Saya tidak menerima ugutan bunuh tetapi ‘lelaki itu’ banyak menghantar pesanan ringkas (SMS) dan ‘Whatsapp’ dengan bercakap yang bukan-bukan.”

Menurutnya lagi, “Kita minta dia berdepan secara ilmiah, sama ada mahu debat, dialog atau untuk bermesyuarat itu tidak menjadi masalah. Beliau cuma perlu menulis kepada kami sahaja untuk temujanji. Bila kita minta dia untuk tulis apa-apa kenyataan dia tidak mahu berbuat demikian sebaliknya meminta kita pula untuk menulis kepada beliau,” katanya.

“Saya bercadang untuk membuat laporan polis dalam masa terdekat ini agar pihak polis dapat menyiasat motif sebenar salah laku lelaki terbabit,” katanya lagi.

Beliau yang juga protege Dr Zakir Naik berkata, “Mungkin lelaki ini kurang siuman, kita tidak lagi hidup di bawah tempurung, kita hidup dalam kepelbagaian etnik, budaya dan agama, menghormati pandangan semua dalam suasana yang baik dan harmoni. Saya tidak boleh pastikan, samada dia antara puak ekstremis atau tidak. Mungkin hanya selepas ditangkap kita boleh soal siapa dia dan apa motif dia berkelakuan seperti orang yang tidak bertamadun itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sangat terbuka, dan pernah satu ketika dahulu menjemput Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang untuk berdebat termasuk menyediakan tiket penerbangan dan kerusi VIP untuk menghadiri ceramah Dr Zakir Naik, bagaimanapun Timbalan Menteri II berkenaan menolak pelawaan itu.

Beliau berkata, “Kalau mereka mahu dialog, kita cabar dia dialog, kalau mahu berdebat kita cabar dia untuk debat tetapi beliau tidak memberi respon. Sebenarnya dakwah adalah tanggungjawab setiap orang Islam untuk memperbetulkan setiap salah tanggapan dan berkongsi keindahan Islam. Kita perlu ikhlas, bersikap terbuka dan berfikiran terbuka tetapi biarlah dalam suasana yang harmoni,” katanya.

Menurut beliau, apabila orang bukan Islam bertanya tentang Islam, jangan marah tetapi hendaklah membantu baiki kefahaman mereka, janganlah sampai menghina.

Sementara itu, Damian Haikal ketika dihubungi berkata, buat masa ini dia tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung isu ugutan yang diterimanya tetapi beliau tidak menolak akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Menurutnya, dia tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi negatif terhadap mana-mana pihak.

“Setakat ini, saya serahkan perkara terbabit kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Menara.my cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak Hindraf sendiri dengan menghubungi pemimpinnya iaitu saudara P. Waytha Moorthy berkenaan isu ugutan ini. Bagaimanapun, pihak beliau beberapa kali mengelak dari ditemubual dan enggan memberikan sebarang maklum balas berhubung isu ini.

Comments