Home Tempatan HINDRAF Jangan Masuk Campur, Maza Jangan Hina Agama Lain – Presiden ASWAJA

HINDRAF Jangan Masuk Campur, Maza Jangan Hina Agama Lain – Presiden ASWAJA

SHARE

Bangi: Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), mengeluarkan kenyataan media berkenaan polemik antara Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) dengan sebuah pertubuhan yang pernah diisytiharkan sebagai pertubuhan haram oleh Menteri Dalam Negeri beberapa tahun sebelum ini.

Presidennya, Ustaz Dr. Zamihan Mat Zin Al Ghari menempelak tindakan HINDRAF yang sibuk campur tangan dalam urusan umat Islam di Malaysia termasuk dalam urusan pihak berkuasa negara ini.

Beliau turut menegur sikap Dr. MAZA sebagai seorang Mufti yang juga agamawan supaya tidak mengeluarkan apa-apa bentuk kenyataan atau puisi yang menyentuh sensitiviti agama lain selagi hidup dan tinggal di negara berbilang kaum, budaya dan agama.

“Sebagai agamawan yang selalu mendakwa mengikut Sunnah, beliau tidak sepatutnya menghina agama lain dalam meluahkan perasaannya. Ia merupakan satu tindakan pramatang yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Mufti. Perbuatan menghina agama lain adalah jelas sebagaimana firman Allah SWT pada surah al-An’am ayat 108.”

Beliau menambah, tindakan Asri bukan sahaja menyalahi sunnah Nabi SAW, malah ia dikira bersifat hasutan dan patut dihadapkan ke muka pengadilan. Ini kerana kenyataan beliau jelas mencetuskan kegusaran dan ketegangan antara kaum dan agama dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Ustaz Dr. Zamihan turut menggesa HINDRAF dan pihak Dr. MAZA menghentikan polemik berkenaan isu Dr. Zakir Naik ini, dan menyerahkan urusan tersebut kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka tanpa sebarang gangguan.

“ASWAJA yakin kerajaan Malaysia dan India mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan isu ini secara hikmah dan bijaksana serta memenangkan kedua belah pihak.”

Comments