Home Tempatan Hindraf Belum Kafir Harbi

Hindraf Belum Kafir Harbi

SHARE

KUALA LUMPUR – Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) menimbulkan semula polemik perkauman di Malaysia apabila pertubuhan itu dilihat kini semakin melampau dan berani melepasi hak batasan bersuara tanpa mengambil kira nilai sensitiviti masyarakat umum.

Pensyarah Kanan UPSI Dr Mohamad Rozaimie Ramli berkata, Hindraf tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan umat Islam kerana Islam sendiri tidak pernah menganggu mereka.

Menurutnya, setiap negara ada memberi hak kebebasan beragama kepada rakyatnya untuk menurut kepercayaan mereka, dan boleh menyuarakan pendapat melalui perbincangan atau ruang dialog yang disediakan secara harmoni tetapi bukan untuk kita menyebar kebencian sesama kita.

Kata beliau, “di Malaysia contohnya kita tidak mencampuri urusan agama mereka termasuk dalam perayaan Thaipusam atau Deepavali. Bagaimanapun saya yakin tidak semua masyarakat India yang berminat untuk campur tangan seperti yang dilakukan puak pelampau Hindraf itu.”

“Dalam masa yang sama, negara bebas seperti Amerika Syarikat sendiri pun masih memerangi puak pelampau dan terorisme. Apatah kita di Malaysia,” katanya.

Beliau juga menambah, “kita tidaklah sampai melabelkan sesiapa pun sebagai kafir harbi. Setakat ini saya belum lagi ingin mengatakan Hindraf sebagai kafir harbi kerana  jika dilabel sebagai kafir harbi sekaligus menunjukkan darah mereka halal untuk ditumpahkan. Takut nanti jika kita memfatwakan hal itu ianya akan menjadi sangat merbahaya.”

“Saya langsung tidak bersetuju dengan cara Hindraf dan menasihatkan pemimpinnya P. Waytha Moorthy supaya menggunakan ruang yang disediakan untuk menyatakan bantahan atau cadangan dengan adab yang lebih bertamadun,” katanya.

Terdahulu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, puak Hindraf secara melampau juga telah menuduh Dr Zakir Naik sebagai pengganas dan menggesa kerajaan Amerika Syarikat mengambil tindakan terhadap beliau.

Bukan sahaja mereka menuduh Dr Zakir sebagai pengganas dan menggesa Amerika Syarikat mengambil tindakan ke atasnya malah meminta campur tangan negara itu ke atas Malaysia dalam kes ini agar Dr Zakir di bawa ke sana untuk didakwa,” kata Mohd Asri di laman Facebook miliknya.

 

Comments