Home Tempatan Hina Agong, Netizen Boleh Disabit Akta Hasutan 1948 – Faidhur Rahman Abdul...

Hina Agong, Netizen Boleh Disabit Akta Hasutan 1948 – Faidhur Rahman Abdul Hadi

SHARE

Kuala Lumpur: “Para netizen ini wajar bertanggungjawab apabila menyatakan sesuatu secara atas talian memandangkan mereka tidak terlepas dari bidang kuasa undang-undang Malaysia hanya kerana mereka melakukan sesuatu di alam maya,” tegas peguam dan aktivis Faidhur Rahman Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu yang tular baru-baru ini berhubung komen daripada para netizen yang mengeluarkan komen-komen melulu bersifat penghinaan dan memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di laman sosial berkenaan kes pelantikan Peguam Negara(AG).

Menurutnya, undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 yang melindungi kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong masih terpakai di samping peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 maka, mereka wajar berwaspada sekiranya tidak ingin dikenakan tindakan undang-undang.

Ditanya adakah komen-komen daripada netizen tersebut boleh dikatakan berbaur hasutan Ketua Eksekutif Young Professionals menambah, “Itu sudah semestinya dan kita bimbang ia akan menjadi budaya yang negatif dan ikutan pada masa hadapan jika tidak dikawal selia dari sekarang.”

Ujar beliau, Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong dilindungi di bawah Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948 dan sebarang hinaan terhadap mereka boleh dikenakan tindakan di bawah lunas undang-undang.

Beliau turut menyarankan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendakwa netizen-netizen yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu agar isu seumpama ini tidak dipandang ringan pada masa hadapan.

Faidhur Rahman Abdul Hadi berharap pihak Menteri dan mereka yang berkenaan dapat terus menguatkuasakan undang-undang sedia ada dengan adil tanpa mengira ideologi atau kepentingan politik, meskipun yang melanggar undang-undang adalah penyokong gabungan politik sendiri.

Comments