Home Tempatan Hina Agong: Kembalikan Akta ISA

Hina Agong: Kembalikan Akta ISA

SHARE

BAGAN SERAI – Pertubuhan Panji Langkasuka Malaysia (Galas) Perak menggesa Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) dikembalikan semula kerajaan Malaysia bagi membendung sepenuhnya sebarang aktiviti memprovokasi dan menghina agama Islam dan institusi diraja.

Gesaan itu dibuat Pengerusinya, Datuk Nor Azlan Ahmad bersama 30 ahli NGO itu susulan lima laporan polis dibuat hari ini berhubung tindakan seorang individu didakwa menghina agama Islam dan Yang di-Pertuan Agong ketika sambutan Aidilfitri yang tersebar luas di Facebook.

Laporan dibuat di Balai Polis Bagan Serai di sini, berdasarkan status seorang individu menggunakan nama akaun ‘Catt Ginger’ menyunting wajah Yang di-Pertuan Agong dengan gambar kurang sopan berserta ucapan Selamat Hari Raya.

Nor Azlan berkata, sejak Akta ISA dimansuhkan kerajaan tujuh tahun lalu, lebih banyak pihak tidak bertanggungjawab yang tampil cuba mencetuskan kontroversi dan memprovokasi kesucian agama Islam, kedaulatan institusi diraja dan maruah bangsa Melayu secara berterusan.

Menurutnya, senario itu seolah-olah cuba membangkitkan sentimen perkauman sempit di samping menghina agama Islam yang dianuti majoriti rakyat negara ini.

“Laporan dibuat bagi mengecam tindakan individu itu menghina agama dan institusi Raja sebagai ketua agama Islam serta ketua negara.

“Jika Akta ISA tidak dikembalikan segera, ia dikhuatiri menyebabkan ketegangan kaum yang memudaratkan keharmonian negara.

“Justeru, saya menggesa pemimpin kerajaan sedia ada menggunakan kuasa diberikan untuk menggubalkan kembali Akta ISA bagi menggantikan semula akta-akta berkaitan yang kurang relevan,” katanya.

Sinar Online

Comments